Lelaki warga Uzbekistan ditahan buat laporan palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Uzbekistan ditahan kerana disyaki membuat laporan palsu berkaitan kes pemerasan melibatkan anggota polis dari cawangan kereta peronda (MPV) di tepi Solaris Mont Kiara di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berusia 37 tahun itu mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM8,000.

"Sepasukan anggota telah menyerbu rumah lelaki itu di Jalan Travers jam 8.33 malam pada Sabtu.

"Kita merampas tiga kad pengeluaran tunai (ATM), dua telefon bimbit pelbagai jenis dan dua penyata ringkas sebuah bank serta sekeping laporan polis dari Balai Polis Sri Hartamas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Anuar berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki itu pada hari sama mendapati keterangan yang diberikan adalah tidak konsisten.

"Semakan terhadap akaun miliknya mendapati tiada transaksi pengeluaran wang pada 21 Februari seperti yang didakwa," katanya

Mengulas lanjut, Anuar berkata, lelaki itu akhirnya mengaku telah membuat laporan palsu dengan rekaan satu kejadian yang tidak wujud kerana wang yang dipinjam dari majikannya telah tercicir.

"Lelaki itu membuat laporan polis agar mendapat simpati daripada pihak majikan bagi mendapatkan pinjaman wang untuk kali kedua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Kuala Lumpur dengan cadangan pertuduhan terhadap pengadu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak sesekali membuat laporan palsu atau memberikan keterangan palsu kepada pihak polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!