Amanah belum terima surat tiga ADUN sertai PKR
JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor masih belum menerima surat rasmi daripada tiga ADUN yang didakwa bertindak menyertai Parti Keadilan Rakyat ( PKR).
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan ketika dihubungi pada Ahad memaklumkan beliau tidak menerima sebarang makluman daripada ketiga-tiga ADUN berhubung tindakan mereka itu.
"Saya masih belum menerima sebarang surat atau kenyataan rasmi daripada mereka. Saya sedang sedang tunggu makluman daripada mereka dan serahkan isu ini kepada kepimpinan Amanah Nasional untuk tindakan seterusnya," katanya.
Pada Sabtu, tiga ADUN dari Amanah iaitu ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota Mohd Said Jonid dilaporkan telah menyertai PKR.
Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani mendakwa tindakan tiga ADUN berkenaan bermatlamat ke arah mencari peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Terdapat desas-desus kononnya mereka ini mendapat tawaran bertanding di kerusi yang bakal ditandingi atas tiket PKR.
"Seharusnya sebagai mengekalkan semangat setiakawan dalam PH, tidak sepatutnya PKR menerima tiga ADUN berkenaan menyertai parti mereka.
"Ini akan menimbulkan pelbagai persepsi dalam komponen dalam PH dan itu seharusnya diterima dengan jiwa yang besar oleh PKR itu sendiri," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!