Usaha TWOAS perkasa wanita disokong
SEREMBAN - Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan menyokong sepenuhnya cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang menggubal dasar baharu melalui kerusi tambahan untuk wanita atau Top-up Women-Only Additional Seats (TWOAS) di negeri itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang itu, cadangan tersebut sangat baik dalam usaha memperkasakan wanita, sekali gus meningkatkan 30 peratus golongan itu dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Kita menyokong sepenuhnya usaha kerajaan Pulau Pinang yang memperkenalka TWOAS ini, diharapkan mereka dapat merealisasikan usaha tersebut.
"Peranan TWOAS ini sama seperti ADUN, bezanya mereka tidak ada kawasan dan peruntukkan tetapi ada kuasa untuk membawa semua isu serta permasalahan kaum wanita dalam Sidang DUN malah mereka juga boleh mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan ketuhar elektrik kepada peserta Power House Wanita Gemilang (PH Gem) di Kampung Baru Mambau dekat sini pada Ahad.
Pada Disember lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan satu inovasi yang akan mempertingkatkan perwakilan wanita iaitu Kerusi Tambahan Untuk Wanita atau Top-up Women-Only Additional Seats (TWOAS).
Jika kurang 12 orang ADUN wanita dipilih, maka wakil TWOAS akan ditambah sehingga 30 peratus tercapai daripada parti mengikut peratusan undi mereka.
Mengulas lanjut Nicole berkata, Negeri Sembilan berhasrat melaksanakan perkara sama seperti di Pulau Pinang namun memerlukan masa.
"Saya berharap program PH Gem ini akan menjadi satu permulaan gerak kerja ke arah memperkasakan wanita sebelum kita melaksanakan TWOAS di negeri ini," katanya.
Pada program tersebut, seramai 10 peserta PH Gem yang terpilih menerima sumbangan ketuhar elektrik dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7,000 sebagai usaha membantu wanita di Kampung Baru Mambau menjana pendapatan.
Sebelum ini, 20 peserta telah menyertai latihan dan kelas membuat kuih anjuran PH Gem namun hanya 10 sahaja yang dipilih bagi membolehkan mereka terus membuat kuih dan berniaga sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!