Thailand memulakan program vaksinasi Covid-19
BANGKOK - Thailand pada Ahad memulakan program vaksinasi Covid-19 dengan Timbalan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul menjadi antara individu pertama untuk menerima suntikan vaksin Sinovac Covid-19, CoronaVac dari China.
Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Masyarakat dan empat menteri kabinet lain menerima vaksin Sinovac di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di Wilayah Nonthaburi untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanannya.
Anutin diberikan suntikan vaksin oleh Dr Yong Yong Poovorawan, seorang profesor perubatan dalam bidang hepatologi pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn.
Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang turut hadir dan menyaksikan proses vaksinasi itu bagaimanapun tidak disuntik vaksin kerana beliau tidak tergolong di dalam kumpulan berusia 18 hingga 59 tahun yang layak menerima vaksin Sinovac.
"Hari ini adalah hari bersejarah apabila vaksinasi Covid-19 bermula. Saya harap Thailand akan mendapat vaksin yang mencukupi tidak lama lagi yang akan membawa kepada pemulihan ekonomi,” kata Prayuth.
Thailand menyasar untuk vaksinasi 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, di Samut Sakhon - pusat wabak terbaharu di negara itu sejak pertengahan Disember lepas, seramai 159 petugas barisan hadapan terdiri daripada kakitangan perubatan, polis, pegawai imigresen, media, dan pegawai pihak berkuasa tempatan adalah antara kumpulan awal yang menerima vaksinasi di Hospital Samut Sakhon pada Ahad.
Anutin yang turut melawat Samut Sakhon bagi menyaksikan proses vaksinasi itu memberi jaminan bahawa semua vaksin COVID-19 telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand (FDA).
Pada Rabu, Thailand menerima kumpulan pertama 200,000 dos vaksin Sinovac, dan 117,000 dos vaksin Oxford-AstraZeneca yang tiba pada hari yang sama.
Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan bahawa vaksin Sinovac telah diedarkan ke 13 wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok yang akan mula memberikan suntikan vaksin kepada kumpula barisan hasapan dan mereka yang berisiko tinggi, tidak lama lagi.
Namun, vaksin AstraZeneca yang tiba pada Rabu masih perlu menjalani proses kawalan kualiti yang dijangka selesai pada minggu kedua Mac ini.
Thailand telah memesan sebanyak 61 juta dos buatan tempatan dari AstraZeneca.
Vaksin berkenaan akan dihasilkan secara tempatan oleh Siam Bioscience di bawah perjanjian pemindahan teknologi. Kumpulan pertama vaksin itu dijangka dapat diperoleh mulai Jun hingga Ogos (26 juta) dan dari September hingga Disember (35 juta).
Setakat ini, Thailand merekodkan 25,951 kes Covid-19 dengan 83 kematian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!