Sanggup redah 7km tanpa lesen bawa suami buta jalani rawatan
BATU PAHAT - Demi suami tercinta, seorang warga emas sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira tujuh kilometer dengan membawa suaminya yang buta setiap bulan ke klinik dengan motosikal, walaupun tidak mempunyai lesen.
Fauziah Ali, 64, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana hanya itu sahaja caranya untuk membawa suaminya, Mahat Juraimi, 66, mendapatkan rawatan bulanan serta mengambil ubat.
Dia yang telah hilang pendapatan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 tahun lalu mengakui terpaksa berjimat dalam semua perkara termasuklah soal makanan.
“Sebelum penularan Covid-19, saya ada melakukan beberapa kerja untuk perbelanjaan kami, termasuklah menjaga anak jiran, membersihkan rumah jiran dan bekerja di warung berhampiran, tetapi ketika ini semuanya tidak dapat dilakukan.
“Memang saya pernah terfikir risiko menunggang motosikal tanpa lesen, namun setiap kali membawa suami ke klinik kami hanya mampu berdoa agar selamat pergi dan pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bukit Perdana, di sini pada Ahad.
Menurut Fauziah lagi, sekiranya dia mengambil teksi atau grab, kos pengangkutan awam yang terpaksa dikeluarkan adalah antara RM10 hingga RM15 untuk sehala, manakala dengan menunggang motosikal minyak yang diperlukan sekitar RM3 sahaja (pergi balik).
Katanya, keadaan suaminya yang menghidap penyakit diabetis kronik itu, tidak boleh ditinggalkan dan telah menyebabkan dia tidak boleh bekerja selain perlu menjaga kakaknya, Kamariah Ali, 66.
“Hampir setahun kami tiada pendapatan tetap dan mengharapkan ihsan daripada kenalan untuk meneruskan hidup. Anak kami pula pendapatannya tidak seberapa dan hanya mula bekerja di Johor Bahru pada bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Dewan Undangan Negeri Penggaram, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya akan merujuk masalah pasangan warga emas itu kepada agensi kebajikan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), untuk mendapatkan bantuan yang sesuai.
Dalam pada itu, bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka boleh berhubung dengan Fauziah sendiri di talian 012-726 8110 atau Mohd Hamidi, 019-708 6716. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!