13 PATI baru mendarat kena cekup

Semua PATI yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut.
Semua PATI yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut.
A
A
A

TANJONG KARANG - Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan 13 warga Indonesia yang masuk ke negara ini secara haram di kawasan sekitar kebun pisang di Kampung Sungai Yu di sini pada Sabtu.

Kesemua yang ditahan pada jam 7.30 pagi itu terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita berusia 21 hingga 46 tahun.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rizal Mohamed berkata, Op Benteng Covid-19 itu dijalankan pasukannya dengan kerjasama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

"Kesemua mereka dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menggunakan bot dari Tanjong Balai, Indonesia dan mendarat ke pesisir pantai Kampung Sungai Yu di sini," katanya dalam satu kenyataan medianya pada Ahad.

Rizal berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut di lokasi tangkapan, pihaknya menahan seorang tekong darat warga Indonesia berusia 50 tahun dan merampas sebuah kereta digunakan suspek.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!