Johor akan jadi pengeluar utama tenaga solar

Sultan Ibrahim bersyukur kerana Johor antara negeri dianugerahkan waktu pancaran matahari yang tinggi. -Foto Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim bersyukur kerana Johor antara negeri dianugerahkan waktu pancaran matahari yang tinggi. -Foto Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor akan menjadi pengeluar utama tenaga mesra alam di Asia Tenggara menerusi pembukaan taman tenaga solar di Pengerang, Kota Tinggi dengan kos projek bernilai RM1.4 bilion.

Projek tersebut, yang diberi nama ‘Taman Solar Sultan Ibrahim’, akan menjadi yang terbesar seumpamanya di rantau ini dengan kapasiti 450 megawatt, menurut catatan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad.

Projek pelaburan swasta berskala besar pertama yang diperoleh Johor bagi 2021 itu adalah atas usaha Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat dan negeri.

Projek berkenaan juga seiring dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan ekonomi dan kemakmuran hidup rakyat, menurut catatan tersebut.

Dalam titah kepada Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor (RPO) pada Ahad, Sultan Ibrahim bertitah, projek tersebut akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi negeri, dengan penawaran kerja kepada pelbagai peringkat memandangkan projek ini turut akan menjadi sistem penyimpanan tenaga solar terbesar di rantau ini apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2023.

“Projek ini bukan sahaja berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah berupaya menjadikan Johor antara pengeluar penting tenaga boleh diperbaharui secara mesra alam di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah keupayaan pengoperasian projek berkenaan, secara tidak langsung akan menjadikan Johor sebagai pengeluar utama tenaga solar berskala besar di samping menitikberatkan kelestarian serta persekitaran hijau yang lebih bersih.

Baginda turut bersyukur kerana Johor antara negeri dianugerahkan waktu pancaran matahari yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Sudah sampai masanya, kita meneroka sumber ini untuk meningkatkan kapasiti penjanaan kuasa serta menyumbang kepada penghasilan tenaga boleh diperbaharui,” titah baginda.

Sultan Ibrahim dijangka berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah Taman Solar Sultan Ibrahim pada 23 Mac ini, di tapak projek di Pengerang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!