Lagi strategi baharu ekonomi akan diumum: Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelabur asing termasuk syarikat dalam senarai Fortune 500 terus menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia, didorong oleh pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan.
Beliau berkata, usaha sedemikian tidak hanya penting malah menjadi antara kaedah untuk menarik dan memastikan pelaburan tersebut dapat ditingkatkan.
"Kita tawarkan insentif khas, yang menjadi cara kita untuk menarik pelabur. Jika anda ke Malaysia (bermakna) anda akan menikmati insentif yang amat menarik.
"Inilah cara kita untuk menarik pelabur. Bagi saya, adalah penting agar pelaburan ini dapat kita tingkatkan terutama bagi sektor-sektor (tertentu) seperti teknologi tinggi dan digital," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama Bernama serta beberapa organisasi media lain sempena ulang tahun pertamanya sebagai perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara di sini.
Perdana Menteri juga baru-baru ini melancarkan inisiatif MyDIGITAL yang merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan lebih mudah serta teratur.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan beberapa insentif cukai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi memacu aktiviti pelaburan, termasuk pengecualian cukai bersyarat selama 10 hingga 15 tahun untuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan dengan modal pelaburan sebanyak RM300 juta atau lebih.
Tidak ketinggalan, inisiatif khusus yang diperkenalkan seperti penubuhan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (Pacu) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pelbagai platform dalam talian seperti i-insentif yang turut mempercepat usaha merealisasikan pelaburan.
Muhyiddin berkata, data terkini menunjukkan Malaysia telah menerima pelaburan baharu bernilai RM109.8 bilion dalam sektor ekonomi termasuk perkilangan dan perkhidmatan bagi tempoh sembilan bulan 2020.
"Dalam tempoh tersebut, terdapat sebanyak 2,935 projek bagi mewujudkan sejumlah 64,701 peluang pekerjaan.
"Sektor perkilangan misalnya telah menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk tempoh tersebut dengan menyumbang lebih daripada 59.5 peratus iaitu RM65.3 bilion dan diikuti oleh sektor perkhidmatan serta sektor primer lain," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga optimis terhadap dasar properniagaan untuk menggalakkan pertumbuhan pelaburan di masa hadapan, terutama dengan kemampuan syarikat-syarikat tempatan yang dilihat berdaya saing untuk melebarkan perniagaan ke luar negara.
Di samping itu, perdana menteri berkata, kerajaan pada masa sama turut membuat keputusan untuk menggalakkan lagi pelaburan dalam negara.
"Syarikat-syarikat sedia ada di Malaysia, terutama syarikat Malaysia sendiri sudah menjadi syarikat multinasional dan setengah daripadanya telah (berkembang) ke luar negara.
"Oleh itu, kita mahukan mereka ini dapat terus berkembang dengan bertindak melabur semula ke dalam negara," katanya.
Muhyiddin juga menekankan pelan komprehensif untuk membangunkan ekonomi negara seperti Penjana telah mendatangkan hasil dalam mengurangkan impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi yang mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) -5.6 peratus pada tahun lepas.
Setakat ini, jumlah nilai terkumpul rangsangan ekonomi adalah RM320 bilion atau bersamaan 20.4 peratus daripada KDNK.
"Namun, yang penting, pada peringkat sekarang ini kita telah buka semula ekonomi dan kita percaya, kita tidak boleh sekat. Mungkin sektor pelancongan belum pulih seperti yang kita kehendaki, itu kita kena tengok," katanya.
"Insya-ALLAH dalam bulan depan saya akan mengumumkan strategi yang komprehensif, saya baru bincang dengan menteri kewangan tadi, saya akan umumkan apa strategi yang sebenarnya untuk kita lebih pesat keluar daripada masalah sekarang dan ekonomi kita akan bertambah rancak.
"Tunggu, saya akan mengumumkannya, mungkin pada pertengahan Mac ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!