Tak ada penyakit cari penyakit

A
A
A

SAYA terbaca sebuah artikel menarik tulisan Prof Mark Leary dari Fakulti Psikologi dan Sains Neuro, Universiti Duke, Amerika Syarikat mengenai hal masalah. Menurutnya, sebahagian besar masalah dihadapi manusia adalah masalah manusia dengan manusia yang lain. Ertinya, masalah manusia dengan alam dan teknologi adalah masalah kecil meskipun skalanya besar.

Perhubungan seseorang dengan anggota keluarga, jiran, rakan sekerja, majikan dan pemimpin masyarakat akan menimbulkan masalah apabila dia tidak sebulu dengan mereka ini. Ketidaksesuaian ini akan menimbulkan perselisihan pendapat, pertengkaran, pergaduhan malah hingga ke peringkat pembunuhan.

Untuk mengatasinya, manusia akan mencari jalan penyelesaian melalui nasihat dan juga pengadilan. Biasanya, masalah yang berkait dengan orang lain akan dapat diatasi melalui perundingan dan persefahaman. Ataupun seseorang itu menjauhkan diri daripada manusia yang menimbulkan masalah baginya. Walaupun masalah tidak selesai, tetapi sekurang-kurangnya situasi tidaklah tegang bila kedua-dua pihak tidak bertemu. Cara pengadilan di mahkamah pula lazimnya membolehkan seseorang itu akur apabila hukuman dijatuhkan sama ada memihak kepadanya atau sebaliknya.

Dalam pada itu, masalah yang dihadapi oleh seseorang manusia itu juga adalah masalah dengan insan yang paling hampir dengannya iaitu dirinya sendiri. Seseorang itu punyai masalah emosi dengan diri sendiri seperti stres, ragu-ragu, dan ketagihan. Dia juga mempunyai masalah fizikal seperti kesihatan, kewangan, harta dan juga berdepan masalah dengan mentalnya seperti kurang fokus, lambat memahami situasi atau tidak suka menambah pengetahuan.

Apabila manusia berdepan dengan sesuatu masalah, lazimnya jumlah yang mahu memahami masalahnya hanyalah dua-tiga orang yang rapat dengannya. Lazimnya hanya seorang kawan, kenalan atau saudara rapat yang memahami masalahnya sementara yang lain tidak mahu ambil tahu. Keadaan ini yang akan mempengaruhi seseorang untuk berasa dia bersendirian ketika berdepan dengan masalah.

Justeru, manusia akan mencari pelbagai jalan untuk menyelesaikannya. Bagi yang faham masalah yang dihadapinya itu perlu dihadapi dengan cara yang tersusun, dia akan mencari seseorang yang boleh dipercayainya untuk meluahkan masalahnya. Ada yang mendapat nasihat pakar. Ada juga yang mencari orang yang paling dipercayai seperti seorang sahabat sebagai tempat mengadu. Tidak kurang juga yang hanya mahu melepaskan perasaan semata-mata dengan menghebahkan masalahnya di media sosial.

Hidup adalah sebuah perjalanan. Masalah yang datang akan pergi apabila tiba masanya. Kata orang, masa itu memulihkan. Dalam konteks ini, masalah yang pergi bersama masa itu tentulah masalah kita dengan orang lain. Sejahat mana pun manusia lain yang menjadi masalah buat kita, dia tidak menjadi masalah lagi apabila kita tidak berdepan dengannya lagi. Semakin lama kita tidak menemuinya, kita akan lupakan dia.

Akan tetapi, masalah yang ada dan sukar hendak selesai adalah masalah kita dengan diri sendiri. Masalah dengan diri sendiri adalah masalah yang berhubungkait dengan sikap kita. Ia menjadi sukar diatasi apabila kita tidak dengar nasihat diri sendiri. Kita degil. Ambil sahaja mana-mana masalah yang berkaitan dengan sikap.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, masalah sukar bangun pagi. Kita tahu kita terlewat bangun kerana lambat tidur. Jalan penyelesaiannya ialah untuk tidur awal supaya tubuh dapat cukup rehat dan mudah bangun seperti diingini. Begitu juga dengan masalah terlebih berat badan. Kita tahu di antara cara yang mudah untuk menurunkan berat badan melalui pemakanan ialah mengambil makanan kurang gula dan lemak. Masalah berat badan akan lebih terkawal dan berpotensi untuk turun dengan mengamalkan diet ini.

Jika kita fikirkan apa sahaja masalah yang lain seperti cepat naik angin, mudah gelabah, suka sangat mengumpat, kuat berleter, bersikap pendendam, berfikir yang bukan-bukan dan prasangka, dan hampir kesemuanya sudah ada jawapan penyelesaiannya. Malah, dalam setiap masalah diri yang kita hadapi, kita tentu pernah berjaya mengatasinya sekurang-kurangnya sekali atau dalam tempoh yang singkat. Soalnya, mengapa pula setelah kita berjaya mengatasi sesuatu masalah itu, masalah itu datang kembali?

Jawapannya ialah kerana kita suka beri muka pada diri sendiri. Apabila kita mempunyai sesebuah masalah, kita mencari pelbagai jalan untuk mengatasinya. Apabila kita menemui jalan dan berjaya menyelesaikannya, kita berasa seronok seketika. Tidak lama kemudian, ingin cuba-cuba timbulkan tabiat lama dengan alasan kita tidak akan terjerumus kembali.

Contohnya, apabila kita berjaya mengekang diri daripada ketagihan sesebuah permainan komputer. Kita telah buang perisian permainan itu dari komputer kita. Kita berjaya tinggalkan tabiat yang membuang masa itu. Tetapi tak lama kemudian, kita biarkan diri untuk cuba-cuba bermain kembali. Kononnya kita tak akan balik ke perangai lama kerana kita sudah berjaya menghentikannya. Dari cuba-cuba, kita langsung terlupa yang kita sudah taubat dari permainan itu. Akhirnya kita kembali hanyut. Tak ada penyakit, cari penyakit.

Inilah masalah saya, masalah anda, masalah kita! Cara menyelesaikannya... jangan beri muka pada diri. Jangan juga maafkan diri.

*Penulis ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!