Peserta perniagaan kecil mahu moratorium menyeluruh diperkenal kembali

Peserta berharap moratorium menyeluruh dapat diperkenalkan semula apabila kemudahan moratorium bersasar berakhir pada penghujung bulan depan.
Peserta berharap moratorium menyeluruh dapat diperkenalkan semula apabila kemudahan moratorium bersasar berakhir pada penghujung bulan depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah moratorium bagi pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan yang direalisasikan menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dengan peserta industri perbankan, yang dilaksanakan di bawah kerajaan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), telah menjadi bantuan berimpak besar kepada individu dan perniagaan dalam meredakan kesan buruk pandemik Covid-19.

Sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya menghadapi cabaran hebat untuk mengimbangi di antara kelangsungan hidup dengan punca pendapatan rakyat, ekoran krisis kesihatan yang turut menjejaskan ekonomi dan sosial dunia.

Moratorium pinjaman menyeluruh secara automatik selama enam bulan berkuat kuasa pada 1 April dan berakhir pada 30 September 2020, bernilai RM89.6 bilion pada 11 September, yang memberi manfaat kepada perniagaan (RM31.4 bilion) dan individu (RM58.2 juta).

Ini diikuti dengan moratorium secara bersasar selama enam bulan lagi, yang berakhir pada Mac ini bagi mereka yang masih memerlukan.

Setiausaha Agung Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Stan Singh-Jit berkata, aliran aktiviti runcit telah merosot dan menjejaskan perniagaan sektor itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami dapati kuasa beli sudah berubah dan orang ramai berbelanja dengan lebih berhati-hati. Sedangkan pada masa sama, kami juga perlu menguruskan aspek seperti gaji pekerja, bayaran sewa serta perkara lain.

“Sudah pasti, kemudahan moratorium itu amat banyak membantu dari segi kos dan menampung perbelanjaan mereka. Tanpa moratorium itu, mungkin ada perniagaan yang terpaksa ditutup,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyifatkan usaha libat urus antara MRCA dengan pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta BNM banyak membantu kerana lebih maklum serta mengambil kira pandangan untuk menangani isu berbangkit.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap moratorium menyeluruh dapat diperkenalkan semula apabila kemudahan moratorium bersasar berakhir pada penghujung bulan depan.

“Pelaksanaan moratorium menyeluruh secara automatik itu lebih menjadi pilihan utama berbanding permohonan individu secara berasingan dalam moratorium bersasar kerana perniagaan berdepan kesukaran untuk memohon pinjaman membabitkan tempoh pemprosesan serta ketetapan berkaitan.

“Malah, banyak syarikat turut menghadapi masalah membabitkan kadar faedah dikenakan oleh pihak bank kerana kaedah pengiraan yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, pemilik perniagaan firma perunding merangkap Pengarah A+I Design Sdn Bhd Wan Ainon Zuraiha Wan Abdul Khalid berkata, pelaksanaan PKP bagi membendung penularan pandemik itu pada Mac tahun lepas, telah memberi kejutan besar kepada kebanyakan perniagaan.

Beliau yang juga ahli Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia berkata sebahagian besar perniagaan tidak dapat meneruskan operasi kecuali yang disenaraikan sebagai sektor penting.

“Syarikat saya yang terbabit dalam aktiviti pembinaan adalah kelompok terakhir yang dibenarkan untuk menyambung operasi.

“Oleh itu, kemudahan moratorium menyeluruh yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah sesuatu yang amat dihargai oleh perniagaan milik individu serta perusahaan kecil dan sederhana seperti kami yang bergelut untuk mencari sumber demi kelangsungan perniagaan serta sumber pendapatan para pekerja,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jumlah moratorium itu berbeza dan bergantung kepada komitmen kewangan individu dan perniagaan terbabit, namun secara amnya langkah tersebut membolehkan mereka terus bertahan sambil merancang tindakan selanjutnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!