Abdul Hilmi pakar restorasi kereta klasik di Pahang
KUANTAN - Kereta dan motosikal klasik yang kelihatan seperti besi buruk, berkarat, warna pudar menjadikan kenderaan itu seakan tiada nilainya.
Namun usia tua kenderaan itu tidak menjadi masalah apabila dijaga, dibaikpulih dan pastinya memiliki nilai tinggi di pasaran.
Bagi memastikan kenderaan klasik untuk terus hidup sebaris kenderaan moden ini dengan mengekalkan ketulenan pembuatannya bukanlah satu kerja yang mudah.
Perkara itu hanya boleh dilakukan oleh pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Abdul Hilmi Yaakub, 64, yang sudah berkecimpung dalam dunia restorasi kenderaan klasik sejak 43 tahun lalu.
Menurutnya, kerja-kerja membaikpulih kereta atau motosikal klasik ini memerlukan ketelitian bagi mengekalkan nilai estetika sesebuah kenderaan yang dibaikinya.
Katanya, kenderaan perlu menjalani 'inspection' atau pemeriksaan sebelum dilakukan kerja-kerja restorasi bermula yang bertujuan mengenalpasti komponen yang perlu ditukar ganti.
"Kerja ini sebenarnya agak rumit dan mengambil masa lama serta memerlukan kesabaran, jadi sebab itu saya lebih pentingkan ketelitian dalam melakukan kerja pembaikan.
“Saya juga mengutamakan nilai ketulenan atau keaslian setiap kenderaan yang baiki, jadi saya akan menggunakan hanya alat ganti tulen dengan membuat tempahan dari luar negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di bengkel miliknya di Lorong Kubang Buaya 88, Medan Tok Sira pada Ahad.
Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau berkeupayaan untuk membaik pulih pelbagai jenis kenderaan klasik dengan tumpuan kenderaan dari England.
Katanya, selain itu beliau mampu membuat perincian hiasan dalaman mengikut permintaan pelanggan.
"Jenama kenderaan klasik yang sering diminta untuknya dibaik pulih adalah seperti Velocette, Dounglas, MGA, Buggati, Sunbeam, Land Rover, Ford Ranger dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, proses membaik pulih kereta klasik ini sekurang-kurangnya memerlukan masa antara lima hingga enam bulan, bergantung kepada keadaan kenderaan yang dihantar.
"Sekiranya kereta klasik itu dalam keadaan 'super parah', jangka masa untuk membaik pulihnya mungkin memakan masa lebih daripada setahun”.
"Berdasarkan pengalaman ada sebuah kereta yang saya baiki iaitu MGA yang memakan masa lapan bulan kerana kesemua alat ganti kereta itu terpaksa di pesan di England," katanya.
Katanya, kos membaik pulih sesebuah kenderaan klasik adalah mahal dan ada yang mencecah sehingga RM40,000 kerana alat ganti serta masa lama diperlukan.
Nasihat Hilmi kepada sesiapa yang berminat memiliki kenderaan klasik, janganlah terburu-buru dan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada orang yang mahir bagi tujuan mengelak dari tertipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!