Kerajaan wujudkan skim kecederaan vaksin Covid-19
SHAH ALAM- Kerajaan akan mewujudkan skim kecederaan berkaitan dengan vaksin Covid-19 dan akan diumumkan kelak.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, perkara tersebut akan dibawa ke jemaah menteri pada Rabu dan akan diumumkan kemudian.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, skim tersebut adalah bagi memastikan mereka yang tercedera, dimasukkan ke dalam hospital atau berlaku kematian disebabkan vaksin Covid-19 akan ditanggung kerajaan.
“Dalam mesyuarat jemaah menteri lalu, kita dapati bahawa ramai yang risau berkaitan dengan kesan sampingan yang serius. Contohnya dimasukkan ke hospital, kematian dan sebagainya.
“Tetapi berdasarkan maklumat yang kita terima, melalui suntikan vaksin ini, sangat jarang dan tiada kematian secara langsung disebabkan perkara ini. Perkara ini akan dibawa ke jemaah menteri pada Rabu dan akan mengumumkan skim kecederaan Covid-19 nanti.
“Kita lihat contoh seperti United Kingdom, Singapura yang mana mereka ada membuat pembayaran kepada siapa yang mengalami kecederaan yang serius contohnya dimasukkan ke hospital atau kematian. Mereka akan menanggung kos rawatan, dan jika melibatkan kematian, waris akan dibayar,” katanya semasa program Sembang Vaksin secara siaran langsung di Facebook MedtweetMy.
Beliau memaklumkan, masyarakat tidak perlu risau kerana tiada kematian secara langsung yang dibuktikan berkaitan dengan vaksin Covid-19 tersebut.
Selain itu, katanya, penerima vaksin boleh melaporkan kesan sampingan melalui aplikasi MySejahtera, melalui talian hotline, atau ke hospital mahupun klinik yang berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!