Politik Melayu perlu bersatu demi kestabilan, kemajuan ekonomi
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan tersebut merupakan satu langkah terbaik bagi menzahirkan sebuah Kerajaan Pemerintahan Dominan Pribumi (PDP) yang kuat dan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, gabungan tersebut perlu dilakukan bagi menentang Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan PKR.
“Hanya Kerajaan PDP yang kuat mampu menjamin butir-butir Kontrak Sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati. Jika berjaya dizahirkan, sekali gus mendorong kestabilan, peningkatan kemajuan ekonomi dan kemakmuran untuk rakyat.
“PRU15 amat mengecewakan jika tiga parti politik utama orang Melayu ini gagal mencari kesepakatan untuk berdepan musuh sebagai satu pasukan yang mantap bersama rakan-rakan dari Gabungan Parti Sarawak, BN dan Perikatan Nasional untuk menyekat PH dari kembali berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, kemunculan sebuah kerajaan PDP yang kuat diyakini jika tiga parti Melayu tersebut menghadapi PRU15 sebagai satu pasukan.
Tambah beliau, kerajaan selepas PRU15 diyakini memiliki dua pertiga majoriti (dari 222) jumlah kerusi di Dewan Rakyat dan majoriti merupakan faktor utama menjamin kestabilan politik serta pemulihan ekonomi.
Menurut Wan Ahmad, sebuah kerajaan yang kuat dengan kedudukan jumlah kerusi majoriti kukuh, diterajui oleh sebuah jajaran politik yang teguh dan boleh menjamin kestabilan untuk kemakmuran rakyat.
“Namun walaupun menang pilihan raya, tetapi jika majoriti yang tipis dan parti-parti menganggotainya bercakaran dan gagal mencari kesepakatan, kerajaan boleh tumbang pada bila-bila masa dan PDP berkubur.
“Adakah itu yang kita mahu? orang Melayu rata-rata serik dengan pengalaman 22 bulan di bawah PH yang ditunjangi DAP dan PKR yang liberal. Tun Mahathir telah diperalatkan untuk menarik undi Melayu.
“Apa yang berlaku selama 22 bulan benar-benar telah membuka mata orang Melayu. Tommy Thomas dilantik Peguam Negara. Semua penyokong LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) dibebaskan, kematian Mohd Adib tidak terbela, Lim Guan Eng dibebaskan.
“Manakala Kerajaan PH pula, 17,000 penjawat awam dipecat; aset Tabung Haji berpindah ke MOF dan berbagai keputusan lain untuk melemahkan bangsa Pribumi. Orang Melayu sama sekali tidak redha lagi melihat DAP kembali berkuasa,”ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!