Seimbang kejar dunia dan akhirat

A
A
A

SETIAP manusia ingin berjaya dalam hidup, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Namun, ada yang leka dengan dunia, seolah-olah akan hidup 1,000 tahun lagi. Ada juga yang terus meninggalkan dunia dan menumpukan perhatian pada akhirat sahaja.

Baru-baru ini, seorang bekas artis mengambil keputusan memberhentikan anak-anaknya daripada sekolah kerana ingin mengutamakan ilmu akhirat dan agama demi masa hadapan.

Menurut beliau, ilmu akhirat ini untuk menyelamatkan anak-anaknya daripada dajal yang bakal datang. Tambahnya, agama dalam kehidupan kita sangat kurang sehinggakan manusia lebih yakin dengan dunia.

Kesian juga pada anak-anaknya yang masih kecil dan hanya menurut kehendak ibu bapa. Sebenarnya, menghantar anak ke sekolah bukanlah untuk ilmu dunia sahaja. Semua disiplin ilmu milik ALLAH SWT dan boleh digunakan untuk mendekatkan diri dengan-Nya.Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Bukhari)

Jika kita tahu esok akan kiamat, apakah yang akan kita lakukan pada hari ini? Mungkin ada yang menjawab, masa yang berbaki akan digunakan untuk meminta maaf daripada semua yang kita pernah buat salah, memaafkan semua yang pernah buat salah pada kita, beristighfar banyak-banyak serta melakukan solat taubat.

Pendek kata, kebanyakan jawapan berkemungkinan besar berkaitan ibadah. Kita akan beribadah sebanyak mungkin sebagai persediaan menghadapi kiamat. Tidak pasti jika ada yang akan menjawab ingin belajar sains atau matematik sebagai persediaan sebelum kiamat. Kenapa tidak?

Sebab ramai yang memisahkan ibadah daripada pekerjaan. Bagi mereka, ibadah ialah ibadah, belajar ialah belajar dan kerja ialah kerja. Rugilah sekiranya kita berfikiran begitu kerana belajar dan kerja juga merupakan ibadah jika dilakukan kerana ALLAH.

Berbalik kepada sabda Nabi Muhammad SAW tadi, pokok kurma mengambil masa empat hingga tujuh tahun untuk berbuah. Jika mengikut logik akal, sempatkah benih kurma itu menjadi pokok dan berbuah sebelum kiamat, sekiranya diketahui esok akan kiamat? Tidakkah sia-sia menanam benih itu kerana mustahil akan berbuah dalam masa sehari?

Artikel Berkaitan:

Pengajaran daripada hadis ini ialah hasil tidak menjadi ukuran tetapi sejauh mana usaha yang kita lakukan. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal, hasil itu urusan ALLAH.

Tidak boleh dikatakan bahawa belajar di sekolah itu dunia semata-mata kerana sekadar mendapatkan sijil dan ijazah. Sijil dan ijazah itu satu keperluan meskipun bukan matlamat.

Tanpa sijil dan kelulusan, usaha menyebarkan ilmu akan menjadi sukar bahkan terdedah kepada penipuan dan manipulasi.

Begitu juga demi mengejar pahala, tidak boleh dikatakan kita kerja semata-mata ikhlas dan bukan untuk gaji dan pendapatan. Hakikatnya, gaji dan pendapatan adalah keperluan untuk kelangsungan hidup. Tanpanya, tugas dan amanah tidak dapat dilakukan dengan baik. Dunia ialah keperluan manakala akhirat itu matlamat.

Teruja mengejar dunia jangan sampai lupa akhirat. Teruja mengejar akhirat pula jangan sampai tinggalkan dunia. Dunia dan akhirat saling melengkapi, sebagaimana ilmu fardu ain dan fardu kifayah, ilmu naqli dan aqli.

Semoga dalam hidup ini, kita bersederhana dan seimbang agar kita bukan sahaja berjaya di dunia tetapi turut berjaya di akhirat.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!