Setahun Abah Malaysia

No Image Caption
A
A
A

HARI ini, pada tarikh 1 Mac 2021, genap setahun Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan negara.

Sepanjang tempoh setahun memegang jawatan nombor satu itu, Muhyiddin ternyata bukan seorang Perdana Menteri yang selesa di atas kerusi empuk yang diidamkan ramai pemimpin parti.

Tugas paling besar Muhyiddin atau digelar Abah sebaik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong adalah mendepani cabaran penularan pandemik Covid-19 yang tidak menunjukkan simpati kepada dunia.

Ancaman virus itu juga membuatkan Muhyiddin terpaksa bersengkang mata bagi memastikan rakyat tidak sengsara, jangkitan tidak terus meningkat dan dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara.

Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, pelbagai usaha kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin telah banyak membantu negara mendepani cabaran Covid-19.

Katanya, semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kabinet memutuskan jurucakap mengenai Covid-19 ialah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Namun selepas kerajaan bertukar, ia memberi tekanan kepada KKM kerana pada ketika itu tiada kerajaan dan apabila Kabinet bubar hanya ada Ketua Pengarah Kesihatan yang boleh membuat kenyataan tentang Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ujarnya lagi, kemunculan kluster Sri Petaling yang merupakan pencetus gelombang kedua dan kluster pertama terbesar ketika negara berdepan kemelut politik turut memberi tekanan hebat kepada KKM namun setelah kerajaan baharu dibentuk pada 10 Mac 2020, pelbagai usaha drastik telah dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya, kerajaan pimpinan Muhyiddin yang baharu berusia lapan hari pada 18 Mac telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah itu ternyata berjaya mengawal penularan Covid-19 malah turut mendapat pujian daripada masyarakat dunia,” katanya.

Tambahnya, pada awal kemunculan Covid-19, kerajaan bertindak pantas dengan pelbagai inisiatif antaranya pembelian kecemasan untuk pelitup muka dan peralatan perubatan seperti ventilator.

Rohaizat berkata, komitmen Perdana Menteri meyakinkan rakyat tentang keselamatan mengambil suntikan vaksin juga boleh dipuji.

Sifat matang

Ketika berdepan misi itu, Muhyiddin ada ketikanya diserang kiri dan kanan oleh seteru politiknya yang terus mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan pada 24 Februari tahun lalu.

Ada juga beberapa percubaan yang dibuat untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin tetapi sehingga kini beliau kekal berkuasa.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir misalnya tidak pernah mengalah mengatakan Muhyiddin hilang keyakinan majoriti ahli Parlimen.

No Image Caption

Malah Anwar juga mendakwa memiliki 113 sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu dan turut mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober.

Malah ada juga percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2021 melalui gabungan Tun Mahathir bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan alasan kerajaan PN yang mengemukakan belanjawan tiada keabsahan.

Bagaimanapun percubaan-percubaan itu tidak diendahkan Muhyiddin dan beliau langsung tidak memberikan respon sebaliknya terus bergerak ke hadapan.

Penganalisis politik Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpendapat, secara keseluruhan, Muhyiddin telah berusaha sedaya upaya memimpin kerajaan dalam waktu yang sukar.

“Beliau ada sifat kematangan dalam berpolitik dan tidak mudah melatah serta tidak mengeluarkan kenyataan politik yang boleh mencetuskan ketegangan. Beliau sentiasa memperlihatkan imej sebagai Perdana Menteri bukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Apabila menjadi Perdana Menteri, beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Mohd Izani berkata, khidmat terbaik juga telah diberikan kepada rakyat khususnya dalam menangani penularan pandemik Covid-19 yang bukan sahaja mengancam nyawa malah menjejaskan kelangsungan hidup rakyat.

“Ini termasuklah usaha menjana semula ekonomi negara dan membantu ekonomi rakyat yang terjejas,” katanya.

Tahan lasak

Bagi Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, beliau melihat Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang bersifat 'stoikal' yakni tahan lanyak.

Katanya, walaupun ramai musuh politik terus menghentamnya tetapi Muhyiddin tetap tenang, tidak melatah dan terus memberi fokus terhadap misi utama terutamanya rakyat tercapai.

“Beliau sabar dan menjauhi kerenah sampingan. Suka menolong orang susah,” katanya.

Rais
Rais

Pada pertengahan Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Biarpun begitu, seteru politik Muhyiddin tidak melihat darurat itu sebagai cara untuk mendepani gelombang ketiga Covid-19 yang meletus sejak 20 September 2020 tetapi sebagai cara menyelamatkan kerajaan termasuklah selepas beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada PN.

“Saya kira setahun pemerintahan Muhyiddin sudah serlahkan kejayaannya,” tambah Rais.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!