Cabaran Kertas Putih Pertahanan

Zamrose dalam wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 di Wisma Perwira Darat Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Jumaat.
Zamrose dalam wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 di Wisma Perwira Darat Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengoperasikan Kertas Putih Pertahanan menjadi cabaran buat Tentera Darat Malaysia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, walaupun negara masih lagi dibelenggu pandemik Covid-19, Tentera Darat Malaysia mahu menjadi pasukan yang diyakini kerajaan dan rakyat.

“Pada tahun ini, Tentera Darat Malaysia dalam inisiatif untuk mengoperasikan Kertas Putih Pertahanan yang menjadi asas kepada Perancangan Strategik Tentera Darat,” katanya dalam wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 di Wisma Perwira Darat Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Hari Tentera Darat disambut pada 1 Mac setiap tahun.

Zamrose berkata, perancangan itu juga akan mendukung Pelan Strategik Kementerian Pertahanan.

“Tentera Darat juga komited dalam usaha merealisasikan Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0) dan Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan Tentera Darat Malaysia dalam melaksanakan misi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 88 tahun penubuhan, Tentera Darat Malaysia telah mencurahkan khidmat bakti demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Di samping itu, Tentera Darat Malaysia turut terlibat dalam pelbagai misi keamanan sejagat sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bermula daripada Perang Dunia Kedua, konfrontasi, darurat, menangani ancaman pengganas komunis sehingga insiden pencerobohan di Lahad Datu, kesemua peristiwa itu telah mendewasakan Tentera Darat Malaysia.

“Satu demi satu kejayaan yang dilakar oleh Tentera Darat Malaysia turut dicatatkan dalam lipatan sejarah kegemilangan negara,” katanya.

Beliau berkata, Tentera Darat Malaysia juga telah mempamerkan kecemerlangan dalam pelbagai misi keamanan dunia baik di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mahupun misi-misi kemanusiaan lain.Aset baharu

“Selain aktif terlibat sebagai pemerhati, Tentera Darat Malaysia turut terserlah dalam penugasannya di Namibia, Somalia, Kemboja, Bosnia Herzegovina, Timor Leste, Afghanistan dan Lubnan.

“Kita juga telah diberikan kepercayaan untuk mengetuai International Monitoring Team (IMT) di Mindanao, Filipina,” katanya.

Zamrose dalam wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 di Wisma Perwira Darat Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Jumaat.
Zamrose dalam wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 di Wisma Perwira Darat Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Zamrose berkata, beliau melihat Tentera Darat Malaysia kini terus melonjak sebagai sebuah ketumbukan moden yang mampu menghadapi sebarang ancaman di pelbagai dimensi.

“Saya berharap agar Perintah Ulung yang telah saya gariskan sebagai Panglima Tentera Darat yang berlandaskan kepada tiga prinsip dan lima tonggak yang sedang dilaksanakan akan menentukan kejayaan Tentera Darat Malaysia dalam melaksanakan operasi ketenteraan mahupun misi bantuan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, lima tonggak itu adalah kelangsungan misi dan kesiagaan, keutuhan organisasi, pelestarian kesejahteraan warga, pengukuhan hubungan pertahanan dan peningkatan hubungan Tentera Darat Malaysia dengan awam akan menjadi panduan utama.

“Pelan tindakan yang dirangka telah mula menampakkan pencapaian yang positif walaupun kita masih lagi berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu,” katanya. Zamrose berkata, beberapa cabaran dihadapi oleh Tentera Darat Malaysia untuk mencapai tahap kesiagaan tertinggi dalam menjaga kepentingan dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Kita menghadapi cabaran dari segi merencana penggantian aset dan juga perolehan aset baharu yang berteknologi tinggi di dalam melaksanakan misi untuk menjadi sebuah ketumbukan yang kredibel dan kekal relevan,” katanya.Menurutnya, cabaran seterusnya adalah berkaitan dengan adaptasi anggota tentera dalam persekitaran yang kompleks.

“Warga Tentera Darat Malaysia pada masa kini berada dalam persekitaran sosial yang sangat mencabar,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia, beberapa perolehan aset baharu juga telah berjaya dilaksanakan termasuklah perolehan Kereta Perisai 8 X 8 Gempita dan tambahan unit Meriam 105MM.

“Beberapa kejayaan yang lain dapat dilihat dalam aspek operasi, pentadbiran dan logistik.

“Pencapaian lain adalah keberkesanan operasi yang dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia dalam membantu kerajaan menguruskan bencana sama ada bencana kesihatan mahupun bencana alam,” katanya.

Zamrose berkata, pihaknya turut terlibat secara langsung dalam mengawal penularan Covid-19 melalui Ops Benteng melalui kerjasama dengan pihak berkuasa lain.

“Kita sentiasa komited dan bersiap sedia dalam memberikan bantuan semasa operasi termasuk bantuan menyelamat mangsa banjir dan pemasangan jambatan sementara pada awal tahun ini,” katanya.

SH: Pertahanan masa depan Army 4NextG

Menurut Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, antara pencapaian lain pihaknya adalah dari segi pemeliharaan moral warga Tentera Darat Malaysia.

“Selain daripada meningkatkan keselesaan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan bangunan-bangunan teknikal, kita juga telah mempergiatkan lawatan kebajikan secara menyeluruh ke setiap formasi.

“Kita juga telah memperbaiki Sistem Laluan Kerjaya Pegawai dan Anggota Tentera Darat Malaysia di mana peluang yang lebih baik diberikan bagi tujuan kenaikan pangkat,” katanya.

Menurutnya, Tentera Darat Malaysia sedang membangunkan Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik atau Army For The Next Generation (Army 4NextG) yang merupakan pelan dinamik dan memberikan tumpuan kepada pembangunan menyeluruh merangkumi pasukan tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat.

“Secara amnya Army 4NextG dirangka khusus untuk memenuhi keperluan generasi Tentera Darat Malaysia akan datang dengan mengambil kira pelbagai spektrum peperangan, persekitaran geostrategik yang tidak menentu serta perkembangan pesat teknologi pertahanan pada masa hadapan.

“Malah Tentera Darat Malaysia juga akan menggerakkan satu pertiga daripada keseluruhan kekuatannya yang berjumlah 80,000 pegawai dan anggota ke Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan lagi keupayaan pertahanan di sana,” katanya.

Zamrose berkata, Tentera Darat Malaysia memilih tema ‘Sinergi Tentera Darat dan Rakyat, Tunjang Kedaulatan Negara’ sebagai tema sambutan Hari Tentera Darat ke-88.

“Ia membawa maksud bahawa hubungan erat yang dijalinkan antara Tentera Darat Malaysia dan rakyat adalah satu elemen penting yang menjadi tunjang bagi kita untuk memastikan kedaulatan negara terus dipelihara dan dijunjung tinggi,” katanya.

Beliau berkata, antara acara utama adalah majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan perbarisan perutusan Hari Tentera Darat ke-88 yang dilaksanakan secara live streaming ke semua peringkat formasi dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Acara lain ialah pelancaran Pasukan 99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber (RSPS), perasmian Kompleks Pasukan 73 Skuadron Semboyan, Grup Artileri Pertahanan Udara dan pelancaran Smart Pole di Kem Perdana Sungai Besi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!