Keistimewaan Coffee ATM

Raja Ahmad Fauzan menunjukkan cara menggunakan Coffee ATM.
Raja Ahmad Fauzan menunjukkan cara menggunakan Coffee ATM.
A
A
A

MINAT terhadap kopi dan mesin berteknologi tinggi mendorong Raja Ahmad Fauzan Raja Hassan tampil dengan perniagaan Coffee Star Malaysia.

Bertapak hampir dua tahun lalu, perniagaan diusahakan graduan kejuruteraan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom (UK) itu sememangnya mempunyai keunikan tersendiri yang pastinya menarik minat pencinta kopi.

Menurut Raja Ahmad Fauzan yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coffee Star Malaysia, perniagaan kopinya bermula dengan menggunakan mesin layan diri tanpa tunai atau lebih dikenali sebagai Coffee ATM.

Pada permulaan, katanya, mesin itu hanya berada di beberapa lokasi lapangan terbang utama di negara ini sebelum diperluaskan ke kawasan tumpuan ramai lain.

Menurutnya, Coffee ATM yang diusahakannya itu merupakan yang pertama di dunia dan cap dagangan untuk jenama tersebut juga telah didaftarkan.

“Jualan kopi di Coffee ATM dibuat tanpa tunai sepenuhnya di mana pelanggan perlu membuat bayaran menggunakan kad kredit, kad bank, e-dompet dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Coffee Star Malaysia di Bukit Jelutong di sini baru-baru ini.

Coffee ATM yang diusahakan Raja Ahmad Fauzan semakin menjadi pilihan ramai.
Coffee ATM yang diusahakan Raja Ahmad Fauzan semakin menjadi pilihan ramai.

Raja Ahmad Fauzan berkata, Coffee Star Malaysia mendahului pasaran dengan menggunakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, Coffee ATM memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan muda yang lebih memilih berurus niaga tanpa tunai.

“Ia juga selari dengan fokus perniagaan iaitu golongan muda dan sesuai dengan gaya hidup (digital) mereka,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai mulanya tercetusnya idea tersebut, Raja Ahmad Fauzan berkata, konsep perniagaan itu dibuat bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kopi bermutu tinggi tetapi dengan harga yang berpatutan.

“Sukar untuk menikmati kopi segar dengan harga yang berpatutan mendorong saya tampil dengan perniagaan ini.

“Dua perkara yang digabungkan ialah minat dan pengetahuan teknikal kerana saya bekas jurutera menjadi usahawan teknologi,” katanya.

Raja Ahmad Fauzan (tengah) bersama kakitangan Coffee Star Malaysia di Ibu Pejabat Coffee Star Malaysia di Bukit Jelutong.
Raja Ahmad Fauzan (tengah) bersama kakitangan Coffee Star Malaysia di Ibu Pejabat Coffee Star Malaysia di Bukit Jelutong.

Selain pembelian menerusi Coffee ATM, katanya, pelanggan juga boleh membuat pesanan melalui beberapa platform jualan dalam talian termasuk Food Panda, Grab Food serta laman web e-dagang www.coffeestar.com.my.

Menurut Raja Ahmad Fauzan, objektif perniagaannya adalah tidak mahu bersaing di ruang perniagaan kopi sedia ada sebaliknya ingin tampil dengan kelainan.

“Kami mahu berbeza. Itulah sebabnya kami menggunakan mesin,” katanya.

Sasar 50 mesin kopiBeliau berkata, ketika ini kira-kira 45 mesin kopi atau Coffee ATM berada di pasaran dan beliau menyasarkan keseluruhan 50 mesin dalam masa terdekat ini.

Tambah beliau, Coffee ATM menggunakan konsep smart machine di mana semuanya dilakukan melalui sistem cloud.

“Kami mengawal selia mesin dari komputer atau melalui aplikasi cloud dan akan menghantar juruteknik ke sana apabila perlu menambah kopi atau selenggara mesin," katanya.

Ketika ditanya bagaimana syarikatnya mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang banyak menyaksikan syarikat gulung tikar, Raja Ahmad Fauzan berkata, implikasi lebih positif dapat dilihat berlaku dalam perniagaannya itu.

“Coffee Star Malaysia mula ditubuhkan pada April 2019 di mana sebelum kedatangan pandemik ini. Alhamdulillah jualan kita stabil, malah lebih baik sebelum kedatangan Covid-19.

“Cuma apa yang membezakan kini dengan dahulu, jika dahulu fokus jualan kita di lapangan terbang atau kawasan tumpuan ramai lain, tetapi kini jualan kita ada di kawasan hospital," katanya yang kini mempunyai enam pekerja tetap dan dua pekerja sambilan.

Sementara itu, katanya, ketika ini Coffee Star Malaysia juga ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Hospital Sungai Buloh dan beberapa lokasi lain.

Mengenai perancangan terbaharu dalam melebarkan sayap perniagaannya, Raja Ahmad Fauzan berkata, Coffee Star Malaysia bakal mengeluarkan produk minuman dalam botol dengan jenama Belcoff iaitu kopi premium atau berkualiti tinggi dari Belgium.

Menurutnya, produk baharu itu bakal dijual menerusi ejen terpilih.

“Kita faham sekarang ini ramai yang terkesan dan hilang pekerjaan. Jadi kita ingin bantu mereka jana pendapatan dengan menjadi ejen jualan kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!