Kecewa putus cinta, wanita nikahi diri sendiri
ATLANTA - Kecewa selepas putus dengan teman lelaki menyebabkan seorang wanita nekad berkahwin dengan dirinya sendiri.
Menerusi laporan Metro.co.uk, Meg Taylor Morrison dari Atlanta, Georgia membelanjakan sebanyak £1,000 (RM5,669) bagi upacara perkahwinannya yang dirancang selama beberapa bulan sempena hari istimewa itu.
Pada majlis itu, Meg telah menyediakan sebentuk cincin berlian, sebiji kek yang ditempah khas dan memakai baju pengantin.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata, tindakan dilakukannya bagi membuktikan bahawa sekiranya tidak dicintai, maka seseorang itu perlu mencintai diri sendiri.
"Saya berkahwin dengan diri saya kerana cintakan diri sendiri. Saya pernah mengalami keperitan perpisahan pada Jun tahun lalu.
"Malah sebelum ini, saya pernah dengar ramai orang berkahwin dengan diri sendiri dan sebab itu saya turut berbuat demikian untuk membuktikan walaupun tidak bersama pasangan, saya tetap bahagia," katanya.
Tindakan Meg juga mendapat sokongan daripada ibunya yang sentiasa memberi kata-kata positif.
"Pada mulanya saya agak gementar mengenai tanggapan orang ramai tentang perkahwinan ini tetapi saya mendapat sokongan daripada ibu. Dia mendorong saya," katanya.
Pada majlis berkenaan, Meg kelihatan menangis setelah melihat dirinya di hadapan cermin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!