Kerajaan gubal strategi Covid-19 berdasarkan data: PM

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan menggubal strategi mengawal penularan Covid-19 berdasarkan data, serta mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat di lokasi kluster jangkitan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, banyak yang telah dipelajari setelah setahun berlalu, antaranya berdasarkan analisis data, lebih 85 peratus kes Covid-19 di negara ini disumbangkan oleh lebih 10 peratus lokasi kluster Covid-19.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata, aktiviti ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan fizikal serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Penguatkuasaan SOP akan dipertingkatkan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan," katanya dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada Isnin.

Majlis amanat bersempena genap setahun beliau menerajui kerajaan Malaysia berlangsung secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal di Putrajaya, antaranya menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan juga secara maya.

Beliau berkata, meskipun aktiviti ekonomi dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan yang tidak dapat mengelakkan penjarakan fizikal.

"Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut merangka beberapa langkah tambahan, antaranya menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan terutamanya golongan miskin serta mereka yang kehilangan pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga mengambil langkah meningkatkan sokongan kepada perniagaan khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Menurut perdana menteri, sistem penyampaian awam turut diberi tumpuan terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan kerenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

Agenda pendigitalan juga diberi fokus utama selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi, katanya.

Dalam usaha menangani penularan Covid-19 dan menjamin keselamatan rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan meningkatkan aspek kawalan sempadan, memastikan pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan, menambah baik pusat tahanan sedia ada termasuk membuka pusat tahanan sementara dan memperketatkan kawalan kemasukan warga asing.

Kerajaan, tegasnya tidak sedikit pun berkompromi dalam isu pendatang tanpa izin terutamanya dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Menurutnya, hingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas pendatang tanpa izin telah dilaksanakan, menyaksikan 22,522 pendatang tanpa izin, 387 majikan serta 11 sindiket berkaitan pendatang tanpa izin dan 111 orang dalang ditangkap.

"Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan, terutamanya terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

"Dasar dan perundangan berkaitan keselamatan akan diperkasakan bagi mengukuhkan lagi aspek penguatkuasaan," tambah beliau.

Muhyiddin berkata, kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus.

Pendekatan lima sempadan hadapan yang merangkumi sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dengan menambah aset dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan termasuk penambahan pos kawalan, pagar sempadan, kamera litar tertutup, radar dan dron berkapasiti tinggi, katanya.

Perdana menteri berkata, pandemik Covid-19 telah mengajar betapa pentingnya untuk negara mempunyai sistem kesihatan yang terbaik.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia telah mendedahkan beberapa jurang yang wujud dalam sistem sedia ada serta langkah jangka pendek dan panjang yang perlu diambil bagi memastikan ia tidak memberi tekanan yang melampau kepada sistem kesihatan negara pada masa depan.

Menyedari hakikat berkenaan, beliau berkata, kerajaan telah memulakan usaha melaksanakan kajian menyeluruh terhadap sistem kesihatan negara dengan kajian terbahagi kepada dua fasa yang merangkumi unjuran serta usaha yang perlu diambil bagi tempoh hingga 2030.

"Fasa pertama yang sedang dilaksanakan meneliti sistem kesihatan negara secara objektif serta menetapkan langkah utama yang perlu diambil bagi memperkukuh sistem sedia ada.

"Fasa kedua akan menghasilkan pelan tindakan yang memperincikan segala langkah yang perlu diambil bagi mencapai objektif mewujudkan sistem kesihatan yang mampan dan bersedia menghadapi tekanan pada masa depan, katanya.

Muhyiddin dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada jemaah menteri, pimpinan parti politik, ahli Parlimen, menteri besar dan ketua menteri, penjawat awam, pasukan keselamatan, pimpinan syarikat berkaitan kerajaan, pimpinan badan bukan kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia yang telah menyokong segala usaha kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Apa sahaja pencapaian negara kita sepanjang tahun lalu dan yang akan datang adalah pencapaian anda semua," katanya yang turut memberi jaminan dan komitmen seratus peratus bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan terus prihatin rakyat.

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam usaha melindungi dan menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19, Muhyiddin mengajak rakyat mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera untuk pengambilan vaksin Covid-19 sebagai tanda sokongan kepada mereka dalam memerangi wabak berkenaan.

Muhyiddin yang mengambil vaksin Covid-19 dos pertama pada 24 Februari lalu berkata:

" Alhamdulillah, saya sihat dan boleh bekerja seperti biasa. Vaksin ini selamat untuk saya dan insya-Allah ia juga selamat untuk anda semua." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!