Baju T lusuh dijual RM37,500
PASIR MAS - Seorang peniaga pakaian terpakai (bundle) berjaya menjual sehelai baju T lusuh Geisha Official keluaran terkemuka dunia iaitu Nike pada harga RM37,500 menerusi jualan secara bidaan menggunakan 'live' Facebook.
Mohd Suhairi Mat Daud, 40, atau lebih dikenali sebagai Mat Yie Tok Ube berkata, item 'rare' yang berusia hampir empat dekad itu telah dibeli oleh seorang pengumpul pakaian 'vintage' dari Kuala Lumpur.
"Alhamdulillah ia merupakan rezeki buat saya dan terima kasih kepada Otai Lee kerana sanggup 'membida' pada harga yang disifatkan sebagai rekod tertinggi jualan setakat ini," katanya kepada pemberita di Kampung Tok Uban di sini pada Isnin.
Menurutnya, walaupun dilihat sebagai sehelai 'kain buruk' oleh orang ramai, namun bagi peminat pakaian vintage ia sesuatu yang bernilai terutama dari sudut susur galur baju T berkenaan.
Katanya, baju T yang dijual itu merupakan edisi terhad dan difahamkan tidak lebih 10 item tersebut berada di dalam negara ini.
Tambahnya, berpandukan situasi itu tidak hairanlah jika nilai baju T tersebut boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
"Industri barangan vintage di negara ini dilihat semakin berkembang apabila sudah ramai yang celik dengan 'nilai' sentimental pada pakaian itu.
"Kebanyakan pembeli barangan ini berusia lingkungan 30-an dan ke atas," katanya.
Menurutnya, kesemua barangan yang dijual akan dihantar sendiri kepada pembeli bagi mengelakkan kejadian barangan itu rosak atau dicuri.
Mat Yie Tok Uban yang sudah sedekad berkecimpung dalam jualan pakaian terpakai ini berkata, selain baju dia turut menjual pelbagai topi berjenama.
Katanya, kebanyakan topi terpakai yang dijualnya bermula dengan harga RM300 dan ke atas bergantung kepada nilai sentimental.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!