Spiderman sambut murid Tahun Satu
KUALA TERENGGANU - Kehadiran seramai 95 murid tahun satu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Mariam di sini pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka pada Isnin disambut dengan maskot watak adiwira Spiderman.
Walaupun kali pertama hadir selepas persekolahan sepatutnya pada 20 Januari lalu ditangguhkan, semua murid kelihatan teruja, gembira dan bersemangat apabila Spiderman serta guru-guru menyambut kedatangan mereka seawal jam 6.45 pagi.
Guru Besar SK Tengku Ampuan Mariam, Mohd Jalani Mat Desa berkata, pihaknya mengambil keputusan menyediakan maskot watak adiwira itu bagi menarik perhatian murid Tahun Satu yang kali pertama hadir ke sekolah pada tahun ini.
"Mengikut SOP (prosedur operasi standard), ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah dan anak-anak perlu dihantar setakat pintu pagar saja. Ini berbeza dengan sebelum ini, ibu bapa boleh masuk pujuk anak yang menangis.
"Jadi kita sediakan maskot adiwira ini bagi menceriakan murid yang baru masuk ke dunia baru dan alhamdulillah cara ini berkesan apabila tiada pelajar menangis. Semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Hadir sama meninjau hari pertama sesi persekolahan bersemuka adalah Pegawai Perhubungan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Kamal Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Tengku Ampuan Mariam, Muhd Aimin Mohd Tahir.
Menurut Mohd Jalani, ini kali pertama pihaknya menggunakan khidmat maskot watak adiwira dan guru-guru turut menyediakan cenderahati serta pintu gerbang belon bagi menyambut kehadiran murid Tahun Satu.
Beliau berkata, selain murid Tahun Satu, seramai 88 pelajar Tahun Dua turut memulakan sesi persekolahan bersemuka dan semua mereka hadir ke sekolah mengikut SOP ditetapkan iaitu sentiasa memakai pelitup muka, mengambil suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
Sementara itu, seorang Pembantu Tadbir, Analita Safarina Omar, 37, dari Kampung Mengabang Tengah berkata, anak ketiganya Nurin Humairah Syahmina Mohd Fadli, 7, bangun seawal jam 6 pagi untuk hadir ke sekolah pagi ini.
"Dia tidak sabar untuk ke sekolah mahu jumpa kawan-kawan. Malam tadi pun jam 10 malam sudah tidur, ajak abang-abang tidur awal untuk ke sekolah sedangkan biasa jam 11 hingga 12 malam baru masuk tidur," katanya.
Ibu kepada pasangan kembar, Tengku Salasiah Tengku Salim,39, pula berkata, dua anak lelakinya tidak sabar ke sekolah selepas persekolahan secara bersemuka ditangguhkan lebih sebulan.
Dia berkata, Adam Fikri dan Adam Fitri bangun bersiap seawal jam 6.30 pagi dan dia sudah menyediakan semua kelengkapan sekolah sejak awal.
"Adik, Adam Fitri jam 10 malam sudah masuk tidur dan kedua-duanya begitu teruja datang ke sekolah hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!