'Anak semangat ke sekolah'
IPOH - Hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan bagi prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sini berjalan lancar.
Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya di sini mendapati seawal jam 6.45 pagi ibu bapa mula menghantar anak masing-masing di hadapan pintu pagar sekolah.
Seorang bapa, Mohd Firdaus Nor Alauddin, 38, berkata, anaknya, Wafa Afifah, 6, begitu bersemangat untuk memulakan persekolahan bagi kelas prasekolah.
Katanya, biarpun pertama kali ke sekolah, anaknya sangat teruja untuk bertemu rakan-rakan baharu.
"Pada jam 6.30 pagi dia dah bangun bersiap nak ke sekolah. Memang dia seronok sangat nak ke sekolah sebab sebelum ini tengok abangnya sahaja yang bersekolah.
"Cuma hari ini dia pakai baju kurung biasa sebab saya tak sempat lagi nak beli baju sekolah. Kebetulan kereta pula rosak. Insya- ALLAH, kalau sempat minggu ini saya beli," katanya kepada pemberita selepas menghantar anaknya di SK Meru Raya di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Meru Raya, Zulliana Hasan berkata, secara keseluruhannya perjalanan hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan berjalan lancar.
Katanya, semua murid kelihatan bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka malah ibu bapa juga telah membuat persiapan rapi.
"Kita juga diingatkan ibu bapa menerusi kumpulan Telegram rasmi ibu bapa SK Meru Raya ini supaya memastikan anak mereka benar-benar sihat untuk dihantar ke sekolah bagi mengelak sebarang masalah.
"Alhamdulillah, kita juga membantu pihak sekolah menyediakan beberapa keperluan untuk hari pertama pembukaan semula sekolah ini," katanya.
Menurutnya, antara bantuan yang diberikan termasuklah menyediakan dua unit alat penapis air minuman untuk kegunaan murid.
Katanya, selain itu PIBG turut menyumbang 20 unit kon bagi melancarkan pergerakan masuk murid ke dalam sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!