Jangan takut ambil vaksin Covid-19, kata Ayob Khan

Ayob Khan (dua dari kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda pada Isnin.
Ayob Khan (dua dari kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - " Sebelum ini orang cakap sakitnya seperti gigit semut, tetapi saya tidak rasa sakit pun," kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksinasi pada Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda di sini pada Isnin.

Beliau merupakan penerima vaksin Covid-19 selepas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang menjadi individu pertama di Johor menerima suntikan vaksin berkenaan.

Ayob Khan berkata, proses suntikan yang diterimanya sebagaimana suntikan biasa dan tiada rasa sakit mahupun kesan luar biasa.

"Saya harap semua mengambil suntikan vaksin Covid-19 terutamanya petugas barisan hadapan seperti anggota dan pegawai polis kecuali kepada mereka yang ada komplikasi seperti hamil dan penyakit kronik.

"Yang lain, jangan bagi alasan tidak mahu vaksin Covid-19. Jangan rasa takut untuk ambil vaksin ini kerana tidak rasa sakit," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, lebih 4,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor akan mengambil suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri fasa pertama.

"Jumlah keseluruhan pegawai dan anggota polis bagi kontinjen Johor dianggarkan lebih 10,000 orang. Fasa pertama melibatkan lebih 4,000 pegawai dan anggota polis.

Artikel Berkaitan:

"Bagi fasa kedua pula yang dijangka bermula pada April dijangka melibatkan lebih 4,000 anggota dan pegawai polis manakala seramai 1,108 anggota dan pegawai polis tidak dapat berbuat demikian kerana hamil, menghidap penyakit kronik serta alahan" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!