Maduro gelar kerajaan Trump ekstremis
CARACAS - VENEZUELA . Presiden Venezuela Nicolas Maduro menggelar kerajaan Donald Trump ekstremis dan menyalahkan Amerika Syarikat (AS) sebagai punca krisis di negara Amerika Selatan itu.
Dalam temuramah bersama BBC, Maduro berkata, beliau tidak akan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan kerana ia merupakan taktik AS untuk campur tangan di Venezuela.
Beliau turut berharap kumpulan ekstremis yang memerintah di Rumah Putih akan 'dikalahkan' dengan pendapat ramai.
"Mereka pencetus perang yang mahu menawan Venezuela.
"AS secara terbuka menyatakan kebencian dan memperkecilkan kami, dan mereka hanya memikirkan kepentingan sendiri," katanya dalam temuramah di Caracas, semalam.
Hubungan antara AS dan Venezuela sedia ada goyah sebelum pentadbiran Trump menyokong tindakan pemimpin pembangkang Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden Venezuela.
Sehubungan itu, Venezuela memutuskan hubungan diplomatik dengan AS, manakala Presiden Trump menyatakan kemungkinan menggunakan tentera demi menggulingkan Maduro.
Pelbagai sekatan dikenakan AS ke atas Venezuela bagi melumpuhkan ekonomi negara itu.
Presiden Maduro turut berdepan tekanan dalam dan luar negara yang mendesak agar pilihan raya diadakan segera bagi memilih presiden baharu.
Sementara itu, Guaido yang menerima sokongan kuat AS, tekad menggesa peletakan jawatan Maduro yang dituduh menjadi punca utama kemelut politik dan kemanusiaan di Venezuela. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!