Tiga kartel dadah bergelar Tan Sri, Datuk Seri bukan ahli politik
GEORGETOWN - Tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa berpangkalan di negara ini bukan ahli politik sebaliknya terlibat dengan aktiviti perniagaan sebelum ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang mengumpul seberapa banyak bukti kukuh penglibatan mereka dalam kartel dadah antarabangsa sebelum menahan mereka.
Menurutnya, kesemua mereka berada dalam radar polis dan pihaknya tidak boleh terburu-buru menahan tiga individu itu sehingga memperoleh bukti yang kuat dan meyakinkan.
"Memang mereka dalam radar kita namun polis masih perlu menjalankan siasatan lanjut dan lengkap.
"Langkah itu perlu kerana kita tidak mahu selepas ditahan mereka dibebaskan begitu sahaja disebabkan kekurangan bukti serta siasatan tidak memadai. Kita mahu ketika pendakwaan kelak dapat dibuat tanpa sebarang kecacatan.
"Jadi biar polis jalankan kerja kami iaitu mendapatkan maklumat serta bukti yang lengkap terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Sebelum ini Razarudin mendedahkan tiga kenamaan yang terlibat dengan kartel dadah antarabangsa disyaki berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.
Katanya, aktiviti perniagaan sah yang dimiliki tiga individu berusia 45 tahun ke atas itu dipercayai hanya alasan bagi menutup kegiatan utama iaitu terbabit dalam kegiatan pengedaran kokain ke luar negara.
Beliau tidak menolak kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu serta menjadi sejarah rampasan terbesar dadah dalam negara di Terminal Kargo Utara Butterworth, pada 10 September 2019, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan Tan Sri dan Datuk terbabit.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, tindakan undang-undang ke atas individu berpengaruh itu bukan perkara baharu kerana polis sebelum ini pernah mengambil tindakan sama ke atas beberapa individu bergelar Datuk di bawah Akta Dadah Berbahaya serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
"Tahun lepas misalnya kita mengambil tindakan di bawah LLPK terhadap dua individu bergelar Datuk melibatkan kes di Melaka dan Kelantan selain kes sama pada 2017. Cuma kes begini sebelum ini tidak begitu mendapat liputan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!