Tiada drama air mata, murid lebih berdikari
SEREMBAN - Kebiasaannya 'drama air mata' akan berlangsung pada hari pertama sesi persekolahan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Puteri di sini tetapi tidak pada kali ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, murid kelihatan bersemangat berjalan masuk ke kawasan sekolah walaupun ibu bapa mereka hanya dibenarkan berdiri di luar pagar dan memerhati dari jauh.
Kesemua murid dikehendaki beratur di laluan khas yang disediakan dan diperiksa suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Puteri, Hasanol Bolkiah Zainal berkata, murid Tahun Satu kali ini kelihatan lebih berdikari.
"Jika sebelum ini pihak sekolah membenarkan ibu bapa menunggu anak mereka di dalam kawasan sekolah dan waktu rehat pula boleh teman anak-anak di kantin.
"Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, ibu bapa hanya dibenarkan berada di kawasan sekolah untuk sesi taklimat pada jam 10 pagi," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya murid terbabit tidak sabar untuk ke sekolah kerana mereka sudah bersedia pada 3 Januari lepas lagi iaitu pada hari pertama sesi persekolahan yang sepatutnya dibuka.
Tambahan pula katanya, murid-murid berkenaan telah pun memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), sekali gus menjadikan mereka sudah terbiasa.
"Ibu bapa juga tidak perlu risau dari segi SOP, kerana pihak sekolah memang jaga dan PIBG juga telah ambil inisiatif menyediakan laluan khas untuk murid Tahun Satu, Dua dan Prasekolah masuk supaya lebih tersusun.
"Sebelum sekolah dibuka pun PIBG edarkan video simulasi bagaimana cara murid-murid datang dan balik dari sekolah bagi memberi gambaran awal kepada mereka serta ibu bapa," katanya.
Sementara itu Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan memaklumkan seramai 35,954 murid Tahun Satu dan Tahun Dua di Negeri Sembilan mula bersekolah pada Isnin.
Jumlah itu meliputi 18,343 murid Tahun Satu melibatkan 684 buah kelas dan 17,611 murid Tahun Dua melibatkan 694 kelas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!