United wajar dapat penalti, kata Solskjaer

Insiden bola terkena tangan Hudson-Odoi pada aksi di Stamford Bridge awal pagi Isnin.
Insiden bola terkena tangan Hudson-Odoi pada aksi di Stamford Bridge awal pagi Isnin.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan skuad kendaliannya wajar diberikan sepakan penalti ketika berdepan Chelsea di Stamford Bridge pada awal pagi Isnin.

Menurut Solskjaer, bola sememangnya mengenai tangan pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi dalam usahanya mengekang asakan daripada pemain United, Mason Greenwood.

Namun katanya, keputusan pengadil perlawanan, Stuart Attwell untuk meneruskan perlawanan biarpun setelah meneliti video pembantu pengadil (VAR) nyata mengecewakan.

“Saya yakin 100 peratus kami sepatutnya diberikan sepakan penalti. Ia boleh dilihat dari bangku simpanan pemain, namun keputusan pengadil sungguh mengecewakan kerana ia secara tidak langsung telah mengakibatkan kami kehilangan tiga mata.

“Apa pun, saya tidak mahu menimbulkan apa-apa kontroversi, tetapi apa yang dikatakan di laman web mereka (Chelsea) terutamanya mengenai Harry Maguire yang didakwa mendesak pengadil untuk memberikan sepakan penalti kepada kami.

“Apa pun bagi saya, kami memang seharusnya diberikan sepakan penalti berkenaan,” katanya.

Insiden berkenaan bagai mengulangi insiden 24 Oktober 2020 lalu di Old Trafford yang menyaksikan Harry Maguire mengasari pemain Cesar Azpilicueta dalam kotak penalti.

Namun, insiden berkenaan turut tidak memberikan sepakan penalti kepada The Blues biarpun setelah merujuk kepada VAR.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Solskjaer kecewa kerana gagal meraih kemenangan pada perlawanan berkenaan dan menyebabkan skuad The Red Devils itu semakin jauh ketinggalan dengan pendahulu, Manchester City.

“Kini kami dijarakkan dengan 12 mata berbanding City yang menang ketika menentang West Ham Sabtu lalu.

“Mereka juga dilihat berpeluang untuk mencatatkan kemenangan lagi ketika berdepan Wolves pada awal pagi Rabu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!