Dua pelajar ditahan merempit
KUALA LUMPUR - Lima remaja termasuk dua yang masih bersekolah ditahan dalam Ops Samseng Jalanan pada Ahad kerana merempit dengan aksi berbahaya di sekitar ibu negara.
Operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang diketuai Inspektor Solihi Shafie.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya berjaya menahan lima lelaki berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun.
"Operasi itu mendapati remaja terbabit dikesan melakukan aksi zig-zag, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri.
"Kesemua motosikal jenis Modenas Kriss, Honda RS150, Honda EX5 dan Yamaha 135LC disita untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, semakan mendapati dua remaja masih bersekolah di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima, seorang tidak bersekolah dan dua yang lain sudah bekerja.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!