Dua beranak tinggal di rumah berlantaikan tanah

 Dua beranak terpaksa duduk di sebuah rumah yang berlantaikan tanah kerana tidak mampu mengupah tukang rumah untuk membina kediaman mereka berikutan pendapatan yang tidak menentu.- Foto FB Pemuda UMNO Sri Gading
Dua beranak terpaksa duduk di sebuah rumah yang berlantaikan tanah kerana tidak mampu mengupah tukang rumah untuk membina kediaman mereka berikutan pendapatan yang tidak menentu.- Foto FB Pemuda UMNO Sri Gading
A
A
A

BATU PAHAT - Dua beranak terpaksa duduk di sebuah rumah yang berlantaikan tanah lebih enam bulan kerana tidak mampu mengupah tukang rumah untuk membina kediaman mereka berikutan pendapatan yang tidak menentu.

Abd Aziz Ahmad, 69, bersama anaknya Alif Haikal, 17, terpaksa membawa bahan binaan sedikit demi sedikit dengan menggunakan kereta sorong sejauh 800 meter dari simpang masuk ke rumahnya yang hanya boleh dilalui motosikal, sejak Ogos tahun lalu.

Warga emas itu yang bekerja mengambil upah memotong kelapa sawit berkata, pendapatannya yang tidak menentu telah memaksa dia dan anaknya membina rumah sendiri di tanah warisan keluarga selepas berpindah keluar dari rumah mentua berikutan kematian isterinya.

“Setiap bulan, saya akan membeli antara 50 hingga 100 biji batu blok dan sekampit simen untuk membina rumah dengan anggaran kos RM200.

“Begitu juga dengan bumbung rumah yang pada mulanya saya menggunakan bumbung terpakai, asalkan kami dua beranak dapat berteduh daripada hujan dan juga panas,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, di sini pada Isnin.

Menurut Abd Aziz, rumah yang sudah dipasang bumbung dan dinding namun masih berlantaikan tanah itu dijangka siap menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu, ADUN Parit Raja Nor Rashidah Ramli berkata, pihaknya telah menghulurkan bantuan agar Abd Aziz dan anaknya dapat ‘duduk’ di rumah baharu mereka itu dengan sempurna menjelang Aidilfitri nanti.

“Pihak ADUN memberikan sumbangan sekitar RM6,000 berbentuk barangan serta peralatan untuk membuat rumah, selain membina jalan masuk baharu untuk keluarga berkenaan. Kita juga sedang berusaha (membantu aspek utiliti) memandangkan kediaman ini masih belum mempunyai bekalan elektrik dan air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Pemuda UMNO bergotong-royong bersama penduduk setempat untuk menyiapkan rumah berkenaan selain turut memberikan sumbangan kepada dua beranak itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!