Lelaki warga Indonesia maut kemalangan
KAMPUNG GAJAH - Seorang lelaki warga Indonesia maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM28, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muari, 47, yang menetap di Kampung Sungai Renggam, Teluk Intan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang lelaki itu terbakar.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Teluk Intan manakala mangsa pula dari Teluk Intan ke Simpang Renggam.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan telah masuk ke simpang sebelah kanan jalan dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda itu.
"Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, kenderaan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa. Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
“Pemandu kenderaan itu pula tidak mengalami kecederaan. Kemalangan berlaku akibat kecuaian memasuki simpang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘alleged road traffic accident with severe cervical fracture and basal skull fracture’,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!