Rumah Ngai@Furqon DWP tawar platfom ngaji, solusi jiwa
PETALING JAYA - Pusat Rawatan Islam Furqon dan Depression Wellness Project (DWP) membuka Rumah Ngaji @ Furqon DWP bagi menawarkan platform belajar mengaji al-Quran secara percuma dan menjadi tempat solusi jiwa di Saujana Damansara, Damansara Damai, baru-baru ini.
Pengasas Pusat Pengubatan Islam Komplimentari Furqon, Hafiza Alias berkata, Furqon menawarkan rawatan Islam dan beberapa rawatan komplimentari seperti akupuntur, bekam, dan terapi ais sejak lebih setahun. Ini secara langsung memberi pendedahan kepada beliau kepada beberapa pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental.
“Dari situ, saya melihat satu keperluan untuk mencipta ruang dan peluang bagi mereka yang ingin memerlukan solusi jiwa walaupun duduk dan mendengar ayat al-Quran di peringkat permulaan.
“Dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), kami dapat merealisasikan hasrat tersebut untuk membantu lebih ramai orang terutama masyarakat setempat untuk belajar secara percuma.
“Pada peringkat awal, saya mensasarkan kalangan klien yang terdiri daripada pesakit dan rakan untuk solusi jiwa. Namun saya ingin memanfaatkan peluang yang ALLAH beri untuk mendekati masyarakat.
“Inilah menjadi motivasi diri bagaimana untuk menjadi manusia bermanfaat kepada orang lain. Saya bersyukur inisiatif ini mendapat sokongan daripada suami, Mohd Arief Ashraf Md Isa dan rakan niaga saya, Pengasas Bersama DWP, Rusediana Afiqah Izzati Saifuddin.
“Manusia selagi tidak diuji, sukar untuk kembali kepada Al-Quran. Al-Quran sememangnya panduan asas kehidupan. Dengan mendekati al-Quran, kita dapat mengenal ALLAH SWT sebagai Pencipta.
“Menjadi tanggungjawab bersama Furqon dan DWP untuk membawa lebih ramai orang mendekati al-Quran dan mendapat solusi jiwa,” katanya.
Sementara itu, Rusediana Afiqah Izzati yang juga merupakan bekas pesakit Furqon membuka DWP sebagai pusat kebajikan bagi membantu lebih ramai orang yang menghadapi kemurungan untuk mendapat rawatan yang sesuai.
“Berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah mengalami kemurungan, kini saya ingin memberi peluang kepada ramai orang di luar sana untuk menangani masalah tersebut yang disediakan oleh Furqon.”
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusof yang hadir pada pelancaran tersebut berkata menyampaikan sumbangan al-Quran wakaf untuk mewujudkan Quran Corner di Rumah Ngaji Furqon DWP.
“Kumpulan sokongan sangat penting dalam membantu golongan yang mengalami kemurungan. Kini pelbagai masalah keluarga berlaku yang menyebabkan ramai mencari keseronokan di luar.
“WUIF melalui kempen Soul Fitness turut menggunakan pendekatan al-Quran dan Hadis yang mampu menyapa dan menyentuh jiwa. Kita perlu teruskan melakukan kebaikan dengan mengajar orang kembali kepada al-Quran.
“Kita harap dapat menguatkan kerajaan dalam diri, keluarga, komuniti dan negara, sehingga lahir negara yang baik, mendapat pengampunan ALLAH SWT,” katanya.
Majlis pelancaran yang ringkas itu turut diberi pengisian tadabbur Surah Al-Mulk yang disampaikan oleh Konsultan WUIF, Ustaz Mustafar Mohd Suki.
“Misi Surah Al-Mulk menjadi surah pilihan tahun ini untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal dalam kempen QuranHour. Ia bertujuan untuk mengembalikan kerajaan diri, keluarga, organisasi dan negara kepada ketauhidan ALLAH SWT,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!