33 cedera, 22 ditahan dalam tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok
BANGKOK - Seramai 33 orang termasuk anggota polis cedera ketika tunjuk perasaan antikerajaan pada Ahad malam di luar berek tentera dekat dengan kawasan kediaman Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, di Bangkok.
Pusat Perubatan Erawan pada Isnin menyatakan 23 anggota polis dan 10 penunjuk perasaan cedera dalam tunjuk perasaan semalam (Ahad).
Selain itu, seorang pegawai polis dari Balai Thammasala yang bertugas semasa tunjuk perasaan itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Beliau disahkan meninggal di Hospital Rajavithi.
Timbalan Ketua Polis Metropolitan Jeneral Piya Tawichai berkata, 22 individu ditahan susulan kejadian itu.
"Mereka akan didakwa kerana melanggar perintah darurat dan merosakkan harta benda awam," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berarak dari Victory Monument ke berek Rejimen Infantri 1 berdekatan Jalan Vibhavadi Rangsit dan mengulangi tuntutan mereka, termasuk menyeru Prayuth berundur.
Polis anti rusuhan menembak peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan orang ramai yang berang setelah pertempuran tercetus ketika penunjuk perasaan merempuh penghadang dan kawat berduri di luar berek.
Piya berkata, penunjuk perasaan berusaha untuk mendekati berek tentera tempat tinggal Prayuth dan keluarganya.
Sejak pertengahan Julai lalu, golongan muda berkumpul di Bangkok untuk mengulangi tuntutan mereka kepada perubahan politik, termasuk pengunduran perdana menteri, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!