Buku teks sejarah: Pemuda UMNO buat laporan polis
SHAH ALAM - Pemuda UMNO menjadi kumpulan terbaharu yang tampil membuat laporan polis berhubung kontroversi berkaitan kandungan Buku Teks KSSM Sejarah Tingkatan Empat.
Exco Pemuda UMNO, Aizat Azam berkata, tindakan tersebut dibuat setelah pihaknya yakin bahawa terdapat unsur manipulasi terhadap kandungan buku teks berkenaan yang mana turut diteliti oleh Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam.
“Pemuda UMNO yakin bahawa terdapat campur tangan dalam penyediaan kandungan sejarah buku teks tersebut yang cuba dimanipulasi sehingga ia menidakkan fakta lain yang sepatutnya tidak boleh dipinggirkan.
“Ini soal fakta sejarah yang perlu diterima oleh semua pihak dan ia perlu diketahui oleh generasi hari ini supaya mereka mengetahui dan memahami perjuangan bangsa di tanah air sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hadir sama ketika membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latiff.
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) telah membuat satu laporan polis di Shah Alam mendakwa buku teks berkenaan diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
Menurut kumpulan tersebut, mereka mendakwa kandungan buku teks berkenaan mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.
Ekoran daripada itu, pada Rabu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan Empat KSSM.
Menurut Asyraf Wajdi, perkara itu dianggap seperti usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dan secara halus menyucikan pemikiran pelajar.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik telah membidas kenyataan Asyraf Wajdi dan mendakwa bahawa tuduhan yang mengatakan sukatan dan silibus mata pelajaran Sejarah diluluskan semasa pentadbiran PH adalah tidak tepat.
Sebaliknya, Maszlee berkata, kelulusan bagi buku teks tersebut dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah.
Sementara itu, pada Khamis, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan Empat mematuhi semua proses penerbitan bagi merangkumi ketepatan fakta melalui proses kawalan mutu yang ketat.
Menurut KPM, penerbitan buku teks tersebut adalah dibuat berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan Empat dan mengikut prosedur operasi standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada 2018.
Jelas kenyataan tersebut, pada 24 April 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan Empat telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.
Mengulas lanjut, Aizat membangkitkan persoalan mengenai Kabinet manakah yang bertanggungjawab meluluskan DSKP buku teks tersebut seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar oleh KPM.
“Ini kerana 24 April 2018 yang disebut KPM sebagai tarikh DSKP diperakui sah adalah melewati tarikh Parlimen dibubarkan iaitu pada 7 April 2018. Ini bermakna proses penulisan dan percetakan berlaku selepas 24 April 2018.
“Siapakah kerajaan yang memerintah dari bulan Mei 2018 sehinggalah buku Sejarah ini dicetak sebagai cetakan pertama pada tahun 2019?” Soal beliau.
Isu mengenai kandungan buku teks sejarah Tingkatan Empat itu turut menarik perhatian beberapa pimpinan tertinggi UMNO seperti Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia supaya mengharamkan segera buku teks tersebut.
Selain itu, Naib Presiden UMNO yang juga Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta supaya kajian semula dilakukan terhadap buku teks berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!