Polis Labuan tumpaskan sindiket edar dadah

Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 35 tahun itu ditangkap menerusi dua operasi bermula tengah hari Khamis.
Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 35 tahun itu ditangkap menerusi dua operasi bermula tengah hari Khamis.
A
A
A

LABUAN - Polis Labuan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di pulau bebas cukai itu selepas menangkap lima individu dengan tiga daripadanya adalah wanita pada Khamis lepas.

Pemangku Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, kesemua suspek berusia 28 hingga 35 tahun terbabit ditangkap menerusi dua operasi bermula tengah hari Khamis.

Dua suspek pertama iaitu dua wanita ditangkap di kawasan tempat letak kenderaan Labuan Times Square pada 12 tengah hari dan pemeriksaan ke atas suspek menemukan 7.26 gram dadah dipercayai syabu.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Pohon Batu dan menahan dua lelaki serta seorang wanita pada 1.30 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya pemeriksaan polis menemukan dadah dipercayai jenis syabu seberat 78.15 gram bernilai RM4,975 pada suspek.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39A (1), Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!