Pesawat mendarat cemas gara-gara kucing mengamuk
KHARTOUM - Gara-gara seekor kucing mengamuk, sebuah pesawat komersial di Sudan terpaksa berpatah balik dan mendarat cemas.
Kejadian itu berlaku ketika pesawat Tarco Airlines baru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dan sedang dalam perjalanan menuju ke Doha pada Rabu lalu.
Media tempatan melaporkan keadaan bertukar kecoh selepas 'penumpang tidak diundang dan tidak berdaftar' itu memasuki kabin juruterbang secara tiba-tiba kira-kira setengah jam selepas penerbangan.
Kucing itu kemudiannya bertindak agresif menyerang kru dan keadaan dilaporkan menjadi semakin tidak terkawal selepas mereka gagal menangkap kucing tersebut walaupun pelbagai usaha dibuat.
Juruterbang yang bimbang dengan keselamatan penumpang lain akhirnya memutuskan untuk berpatah balik ke Khartoum.
Siasatan awal mendapati haiwan itu mungkin menyelinap masuk ke dalam pesawat ketika sesi pembersihan dalaman pesawat atau prosedur pemeriksaan kejuruteraan.
Pada 2004, sebuah pesawat penerbangan Belgium yang membawa 62 penumpang juga terpaksa berpatah balik selepas seekor kucing mengamuk hingga mencetuskan kekecohan di kokpit. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!