MAIWP sasar RM710j kutipan zakat tahun ini
KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat RM710 juta tahun ini berbanding RM650 juta tahun lepas, yakni kutipan tertinggi berbanding lain-lain negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kutipan zakat yang tinggi itu menuntut MAIWP untuk bekerja keras dan lebih proaktif dalam mengagihkannya, yang menyaksikan Majlis itu melaksanakan pelbagai program bagi menjayakan hasrat itu.
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) MAIWP tahun ini adalah untuk mengurangkan kemiskinan kalangan asnaf antara dua hingga empat peratus setahun,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis makan malam bersama dengan Duta Besar negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini malam ini.
Majlis itu dianjurkan oleh MAIWP sebagai platform bagi meningkatkan kerjasama dan saling bertukar pandangan serta pengalaman teritama dalam agenda pengurusan islam di kalangan perwakilan negara-negara anggota OIC.
Turut hadir ialah Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Hatta Md Ramli, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan para duta besar dari negara-negara anggota OIC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!