Petronas SRT sedia julang Rossi
Kehadiran legenda MotoGP, Valentino Rossi ke Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) musim ini, bukan sekadar pemasaran untuk melonjakkan nama pasukan.
Sebaliknya, Prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya bertekad untuk bekerja keras mengembalikan prestasi pelumba dari Itali itu seperti di era kegemilangannya bagi meraih kemenangan podium dan memberi tentangan sengit kepada pencabar Kejuaraan Dunia.
“Saya tak nak tumpang popularitinya sahaja, kita nak cabar diri sendiri untuk membuat Rossi lebih berdaya saing, itu objektif utama kita. Sasaran untuk beliau musim ini adalah cuba mendapat (kemenangan) podium, raih kemenangan dan beri saingan sengit kepada pelumba lain untuk mengejar Kejuaraan Dunia.
“Kita akan tolongnya supaya selesa dalam persekitaran baharunya sebab ini kali pertama beliau beraksi dalam pasukan satelit. Tetapi kita yang profesional akan buat terbaik untuk jadikannya berdaya saing dan beri saingan kepada yang lain di Kejohanan Dunia,” kata Razlan dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama pada Khamis.
Beliau berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lepas, pihaknya juga tidak mempunyai masa untuk menilai pelumba muda lain.
"Ini kerana musim bermula pada Julai, jadi adalah lebih selamat untuk mengambil Rossi yang berpengalaman luas dan mampu meraih kemenangan podium, berbanding mengambil risiko membariskan pelumba muda," ujarnya.
Juara dunia sembilan kali itu secara rasminya telah diperkenalkan sebagai pelumba baharu untuk musim 2021 pada majlis pelancaran pasukan yang diadakan secara maya pada Isnin.
Turut dilancarkan jentera Yamaha YZR-M1 yang tampak garang dengan warna hitam dan hijau yang sinomim dengan syarikat minyak dan gas nasional, Petronas.
Rossi yang membuat kemunculan pertama MotoGP pada 2002, akan berganding dengan naib juara musim lalu, Franco Morbidelli yang bersama pasukan itu sejak musim pertama pada 2019, manakala Fabio Quartararo menggantikan Rossi di pasukan pengilang, Yamaha.
Razlan juga yakin gandingan Rossi, yang juga merupakan mentor kepada Morbidelli akan mewujudkan persaingan yang menarik dan sihat, kerana kedua-dua pelumba sudah lama mengenali satu sama lain dan berlatih bersama-sama.
“Ia bukan satu persekitaran dengan Rossi dicabar oleh rakan sepasukannya seperti Maverick Vinales dan sebagainya, saya percaya beliau lagi selesa dengan Morbidelli. Sebelum ini pun Morbidelli pernah mengatasi Rossi beberapa kali.
“Jadi saya percaya mereka tetap akan berlawan satu sama lain, mungkin dengan cara yang berlainan berbanding orang lain dengan menggalakkan satu sama lain melakukan yang terbaik. Ini satu kelebihan, saya lihat bakal memberikan kelebihan kepada kedua-dua pelumba,” katanya.
Mengulas lanjut, Razlan berkata, Rossi akan menggunakan jentera pengilang Yamaha YZR-M1 manakala Morbidelli akan tampil dengan “A-spec Plus” jentera berkenaan.
Beliau turut menjelaskan tiada pengubahsuaian dan penambahbaikan dapat dilakukan pada jentera tahun ini berikutan pandemik Covid-19 dengan pembangunan enjin dan aerodinamik dibekukan.
“Yang boleh tukar ialah casis dan benda-benda lain, jadi kita akan gunakan jentera yang sama seperti tahun lepas bagi dua pelumba ini berikutan kewangan dan talian pengeluaran Yamaha yang ketat.
“Namun saya percaya Morbidelli tidak mempunyai kekurangan kerana beliau mampu bersaing untuk Kejuaraan Dunia tahun lalu dan menamatkan saingan di tempat kedua dengan menggunakan jentera yang sama,” katanya.
Petronas Yamaha SRT muncul “Top Independent Team” dan pasukan keempat terbaik keseluruhan dengan Quartararo meraih gelaran “Rookie of the Year” dan “Top Independent Rider” pada penyertaan sulung MotoGP pada 2019.
Musim lepas, pasukan MotoGP pertama dari Malaysia itu, terus cemerlang apabila Morbidelli meraih tempat kedua, manakala pasukan berkenaan sekali lagi merangkul gelaran “Top Independent Team” selain enam kemenangan perlumbaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!