Iran dikhuatiri mula balas dendam terhadap Israel

Gambar fail menunjukkan sebuah gudang yang terbakar di dalam kemudahan nuklear Natanz pada tahun lalu di Isfahan, Iran - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah gudang yang terbakar di dalam kemudahan nuklear Natanz pada tahun lalu di Isfahan, Iran - Foto AFP
A
A
A

PERBALAHAN terbaharu tercetus antara Israel dengan Iran apabila Tel Aviv mendakwa Teheran menjadi dalang dalam letupan sebuah kapal kargonya yang sedang dalam pelayaran ke Singapura pada minggu lalu.

Dalam kejadian itu, berlaku satu letupan terhadap kapal kargo MV Helios Ray yang dalam pelayaran dari Pelabuhan Dammam ke Singapura pada Khamis lalu.

Bagaimanapun letupan itu tidak melibatkan sebarang kematian atau kecederaan terhadap anak-anak kapal.

Setakat ini masih tidak jelas sama ada letupan tersebut yang menyebabkan dua lubang terbentuk berukuran diameter lebih satu meter itu berpunca oleh peluru berpandu atau periuk api laut di Teluk Oman.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin lalu menuduh secara terang-terangan, Iran melakukan serangan itu selepas Amerika Syarikat (AS) melakukan serangan ke atas beberapa kemudahan yang digunakan oleh kumpulan bersenjata pro-Teheran di Syria baru-baru ini.

Menurut Pertubuhan Pemantau Untuk Hak Assasi Manusia Syria, seramai 22 orang pejuang pro-Iran terbunuh dalam serangan di timur Syria dekat dengan sempadan Iraq.

Netanyahu tanpa berselindung lagi mendakwa Iran sebagai musuh terbesar rejim Zionis dan kenyataan beliau dibuat menerusi sebuah badan penyiaran awam Israel iaitu Kan.

Kenyataan Netanyahu itu dibuat beberapa jam selepas pasukan pertahanan Syria memintas apa yang didakwa oleh Damsyik sebagai peluru berpandu di ruang udara ibu negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan Pemantau Untuk Hak Asasi Manusia Syria yang beribu pejabat di Britain berkata, serangan berkenaan menjadikan kawasan Sayyida Zeinab sebagai sasaran yang mana Pasukan Pengawal Revolusi Iran dan pasukan Hezbollah Lebanon dilaporkan berada di selatan Damsyik itu.

Bagaimanapun, Tel Aviv masih enggan mengesahkan sama ada ia melancarkan serangan itu.

Pada Sabtu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz berkata, penilaian awal pihaknya menunjukkan Iran bertanggungjawab dalam letupan yang berlaku ke atas kapal kargo tersebut.

Letupan misteri itu juga mendapat liputan akhbar Iran iaitu Kayhan pada Ahad lalu yang mana ketua pengarangnya yang merupakan lantikan Pemimpin Agung negara tersebut, Ayatollah Ali Khamenei mendakwa kapal MV Helios Ray kemungkinan melakukan satu misi pengintipan di rantau Teluk.

Menurut akhbar tersebut, MV Helios Ray merupakan sebuah kapal tentera Israel dan sedang mengumpulkan maklumat mengenai Teluk Arab atau lebih dikenali sebagai Teluk Parsi dan Laut Oman.

Namun, ia tidak menyertakan sebarang bukti berhubung dakwaan berkenaan tetapi membuat spekulasi bahawa kapal tersebut mungkin terperangkap dalam satu serangan hendap oleh sebuah cawangan kumpulan proksi Iran di rantau tersebut.

Kapal milik Israel, MV Helios Ray berlabuh di Pelabuhan Rashid, Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Ahad lalu. - Foto AFP
Kapal milik Israel, MV Helios Ray berlabuh di Pelabuhan Rashid, Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Ahad lalu. - Foto AFP

Sebenarnya, kapal yang menjadi sasaran serangan itu adalah milik seorang ahli perniagaan Israel, Rami Ungar dan beliau tidak pasti sama ada dua kesan lubang pada kapalnya itu terjadi disebabkan oleh serangan peluru berpandu atau periuk api laut.

Menurut firma Dryad Global, MV Helios Ray itu membawa kargo kenderaan.

Kapal tersebut kemungkinan diserang dengan menggunakan sejenis periuk api laut yang mendekatinya dengan menggunakan daya tarikan magnet ketika ia berhenti di sebuah pelabuhan sebelum meletup.

Selepas meletup, ia kemudian berlabuh dan dibaiki di Pelabuhan Rashid, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

UAE sebelum ini telah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel bersama Bahrain, Maghribi dan Sudan pada tahun lalu.

Sebelum ini, Teheran berulang kali menyatakan ia mahu membalas dendam terhadap kematian seorang saintis terkenal negaranya, Mohsen Fakhrizadeh yang pernah dianggap sebagai bapa program nuklear Iran oleh Israel.

Iran menuduh Israel terlibat dalam kejadian pembunuhan Fakhrizadeh dengan pelbagai teori pembunuhannya berlegar di Iran antaranya beliau mati ditembak dengan mesingan yang dikawal satelit di sebuah lebuh raya di luar Teheran pada 27 November tahun lalu.

Teheran juga menyalahkan Israel berhubung satu siri serangan yang melibatkan satu letupan misteri di sebuah loji nuklear Natanz di Iran pada tahun lalu manakala portal berita BBC mendakwa kebakaran turut berlaku di beberapa kemudahan nuklear lain di negara tersebut.

Ketegangan telah meningkat di rantau Teluk sejak AS mengenakan semula sekatan di Iran pada tahun 2018 semasa Presiden AS ke-45, Donald Trump memerintah berhubung isu nuklear di negara berkenaan.

Sekatan itu dikenakan setelah AS menarik keluar daripada perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada tahun 2015 yang tidak mengenakan sekatan ke atas Iran asalkan negara itu membenarkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memeriksa kemudahan nuklearnya.

Iran juga dikhuatiri oleh AS, Israel dan negara-negara barat akan mengeluarkan senjata nuklear tetapi sering kali dinafikan oleh Teheran. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!