Memahami konsep ilmu

Membaca adalah menjadi kunci bagi mendapatkan ilmu pengetahuan.
Membaca adalah menjadi kunci bagi mendapatkan ilmu pengetahuan.
A
A
A

KETIKA membicarakan konsep ilmu dari perspektif agama Islam, terdapat segelintir ulama Islam yang membicarakannya hanya di sekitar ibadat khusus sahaja berdasarkan kepada kategori hukum ibadat iaitu wajib, sunat, haram, harus, dan makruh.

Senario ini agak berbeza dalam masyarakat Islam ketika memasuki zaman teknologi maklumat dan intelektual baru, ketika para saintis dan ahli akademik banyak membicarakan cabang ilmu secara holistik dan mendalam.

Sungguh pun istilah ekstremis tidak wujud dalam Islam, tetapi Rasulullah SAW daripada awal lagi menyatakan tentang sikap baginda sebagai seorang manusia yang perlu menjaga keseimbangan di antara tuntutan jasmani dan rohani, roh dan jasad. Para sahabat menyangka bahawa sebagai Rasul dan Nabi, baginda tentulah bersolat sepanjang malam, berpuasa saban hari, malah mungkin juga seorang Muslim tidak perlu berkahwin.

Hal ini diterangkan sendiri oleh baginda, bahawa baginda ialah seorang insan yang paling bertakwa kepada ALLAH SWT, tetapi baginda berpuasa dan berbuka, bersolat malam dan tidur, malah berkahwin. Hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa terdapat keseimbangan dalam kehidupan kerohanian dan fizikal, kerehatan dan tuntutan jasmani yang harus dipenuhi.

Oleh itu dalam zaman sekarang ini segala pengajaran rasmi dan tidak rasmi tentang agama Islam haruslah di sertai dengan penjelasan yang lebih ilmiah dari pada hanya menyerah kepada ALLAH SWT untuk segala-segalanya, tanpa kita sendiri berikhtiar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kehidupan kita di dunia ini, kerana dunia ini adalah merupakan ladang untuk hari akhirat.

Tanpa menghubungkan agama dengan budaya manusia jasmani dan rohani, maka kita sering melihat bahawa dunia kerohanian dan fizikal manusia sering dipisahkan oleh syariah sendiri.

Ibadat wuduk, solat dan puasa serta lain-lain lagi mempunyai hubungan yang rapat dengan kebersihan, disiplin, pengurusan masa, dan semua pengurusan dengan diri sendiri dan masyarakat di sekeliling, yang seharusnya di ambil pengajaran dari amalan ibadat yang dilakukan itu di dalam kehidupan dunia setiap masa.

Umat Islam seharusnya menyedari akan falsafah dan hikmah bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril ialah surah al-Alaq (96) yang mengandungi perintah mencari ilmu, iaitu dimulai dengan kata perintah oleh ALLAH SWT kepada baginda Iqra’, bermaksud bacalah.

Artikel Berkaitan:

Membaca adalah menjadi kunci bagi mendapatkan ilmu pengetahuan, dan ilmu itu adalah amat luas bidangnya, yang bermaksud bahawa manusia haruslah menuntut semua ilmu ALLAH yang maha luas itu. Inilah maksudnya apabila disebutkan bahawa Iqra’: adalah merupakan tuntutan agama kita.

Perutusan

Sekiranya umat Islam dibekalkan dengan perutusan ini dengan penuh komitmennya dan tindakan selanjutnya daripada budaya membaca dan menuntut ilmu dalam segala cabangnya, maka umat Islam tidak akan jatuh dalam dunia buta huruf pada umumnya, dan nescaya umat Islam akan menguasai ilmu pengetahuan dengan baik dalam dunia ini, malah sekiranya dikaitkan juga dengan pembangunan ekonomi, zakat, waqaf dan sedekah atau infaq, maka ekonomi umat Islam juga akan maju dan meningkat untuk kepentingan dunia dan akhirat umat Islam sendiri.

Dalam memberi kuliah, tazkirah, menganjurkan kelas agama, tahfiz dan sebagainya, malah dalam menyampaikan pendidikan Islam, pada masa kini, maka hal itu adalah merupakan sebahagian dari cara hidup dan budaya yang menyeluruh bagi masyarakat sendiri.

Budaya hidup masyarakat merupakan satu kesatuan dan elemen penting dalam hidup manusia ketika mengamalkan sistem ibadat, hukum dan fatwa, tata susila dan cara hidup spiritual dan fizikal manusia, pembangunan ekonomi dan kekuatan kebendaan, malah politik dan pemerintahan negara itu sendiri.

Semoga hal ini dapat ditekankan supaya umat Islam tidak ketinggalan di dunia ini, demi mencari kebahagiaan di akhirat nanti.

*Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!