Tiga kawasan di Selangor catat IPU tidak sihat
SHAH ALAM - Beberapa daerah di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat pagi Selasa.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tiga kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang paling tinggi iaitu 183 diikuti Banting (165) dan Petaling Jaya (141) pada jam 8 pagi ini.
Pemerhatian Bernama juga mendapati kawasan di sekitar Shah Alam kelihatan agak berjerebu dengan bacaan IPU 96, setakat jam 8 pagi.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!