MFL harap Liga-M berjalan lancar
SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) 2021 kini hanya menunggu hari sebelum sepak mula selepas ia dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin.
Selepas mengharungi detik suram sepanjang musim lalu susulan pandemik Covid-19 sehingga Liga-M terpaksa ditangguhkan, saingan musim ini dijangka kembali meriah dengan kehadiran penyokong setiap pasukan ke stadium.
Begitupun, ketika ini masih belum ada kepastian bilakah para penonton dibenarkan masuk ke stadium biarpun saingan Liga-M 2021 bakal bermula secara rasmi pada Jumaat ini.
Bagi Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau berharap penganjuran Liga-M 2021 tidak berdepan masalah sama sebagaimana yang berlaku musim lalu di sebalik penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dalam usaha berterusan mengekang penularan Covid-19.
“Saya berharap perjalanan Liga-M musim ini berjaya disempurnakan selain dapat menarik masuk lebih banyak penajaan dan seterusnya memanfaatkan pasukan bertanding yang turut terkesan dengan impak Covid-19.
“Diharapkan juga saingan Liga Super dan Liga Premier diteruskan sehingga ke Piala Malaysia dengan menjadi satu pertandingan yang kompetitif bagi menyiapkan pasukan kebangsaan pada Jun nanti,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Liga-M 2021 di Putrajaya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MFL berjaya memperoleh tajaan berjumlah RM33.4 juta yang turut merangkumi hak penyiaran perlawanan bagi memastikan kelancaran Liga-M musim ini.
Tanpa mendedahkan butiran penaja, Hamidin memaklumkan MFL menjangkakan beberapa lagi penaja akan tampil, namun ia masih dalam perbincangan.
“Sehingga kini, jumlah penajaan adalah RM33,428,000 dan jumlah itu melibatkan hak penyiaraan, penajaan yang antaranya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.
“Itu jumlah kita berjaya dapatkan dalam tempoh pandemik Covid-19 dan kita sebenarnya ada beberapa lagi peluang penajaan yang masih dalam perbincangan dan belum ditandatangani, jadi kita harap akan ada penambahan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, sepanjang setahun berdepan pandemik Covid-19, MFL menerima pelbagai rintihan khususnya daripada penyokong bola sepak yang tidak dibenarkan ke stadium susulan pelaksanaan SOP.
“Di sini sebahagian besar mereka mula menyedari betapa bernilai, sentimental dan semangat ukhwah dalam kelompok penyokong bola sepak terhadap Liga-M.
“Jadi saya sangat yakin dan percaya Liga-M 2021 bukan saja akan mendapat sokongan pelbagai pihak sebaliknya bakal menjadi penanda aras di mana Liga-M juga memiliki kualiti dan potensi besar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!