Muafakat Nasional Pahang susun gerak kerja PRU15
KUANTAN - Pas dan UMNO Pahang menerusi gabungan Muafakat Nasional merangka dan memperkemaskan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, perbincangan dibuat bagi menyelaras budaya kerja antara parti-parti terlibat yang mungkin berbeza sebelum ini.
"Gerak kerja perlu dilakukan secara bersama atas nama Muafakat Nasional termasuk keperluan logistik petugas pilihan raya. Jadi bila ada pertemuan sebegini pelbagai solusi dapat dirancang dengan lebih teliti dan tersusun.
"Kita yakin pertemuan dan perbincangan ini dapat memperkemaskan lagi jentera Muafakat Nasional untuk menghadapi PRU15," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Pas Pahang mengadakan pertemuan Mahabbah Muafakat Nasional bagi membincangkan agenda gabungan itu.
Pertemuan antara kepimpinan Pas dan UMNO Pahang dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Pas, Andansura Rabu; Ketua Penerangan Pas, Mohd Tarmizi Yahya dan Hasanuddin Salim.
Sementara itu, pimpinan UMNO yang hadir ialah Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Hamid Nazahar; Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Seri Hasaan Arifin dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Rosli berkata, pertemuan itu juga sebagai satu cara bermuhasabah, sekali gus kembali kepada agenda penyatuan ummah.
Menurutnya, kedua-dua parti menyelusuri sejarah awal berhubung penyatuan ummah di Pahang.
"Terima kasih kepada Wan Rosdy dan semua sahabat pimpinan Pas dan UMNO yang hadir dalam pertemuan Mahabbah Muafakat Nasional.
"Semoga pertemuan ini menghasilkan natijah yang baik untuk ummah dan Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!