TH umum agihan keuntungan 3.10 peratus
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat yang lebih baik iaitu sebanyak 3.10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 3.05 peratus pada tahun sebelumnya.
Agihan melibatkan jumlah RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung tahun 2019 akibat pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, jumlah deposit di TH telah mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021 iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.
TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada tahun 2019.
“Oleh itu para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.
“Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula 8 malam pada Selasa sehingga 12 tengah hari pada Rabu bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.
Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas jam 12 tengah hari pada Rabu.
“Menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat serta saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Zulkifli berkata, sehingga kini kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang musim haji tahun 2021 walaupun telah menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah semenjak 1 November 2020.
“Marilah kita terus berdoa agar wabak ini pulih sepenuhnya dan kita dapat menjadi tetamu ALLAH di tanah suci semula.
“Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.
“Oleh itu saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan oleh TH secara dalam talian dan menjaga kesihatan diri dengan menjaga pemakanan serta lakukan senaman kerana ibadat haji menuntut kekuatan fizikal dan mental,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!