Demi minat dan komitmen
KUANTAN - Di sebalik tubuh gempalnya, figura ini sebenarnya aktif menggalas tanggungjawab besar.
Dilantik sebagai Ketua Kor Marin Jabatan Amal Malaysia, Mohd Aidil Firdauz Mohd Nasir menerima amanah menyelia pasukan penyelamat bagi membantu agensi kerajaan dalam operasi penyelamatan di air dan bencana.
"Pasukan kendalian saya akan membantu agensi atau jabatan kerajaan sekiranya berlaku sesuatu bencana seperti lemas, banjir dan sebagainya.
“Kita juga akan turut serta dalam misi yang dilaksanakan bagi melancarkan usaha pencarian atau tragedi di seluruh negara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Biarpun sering dipandang enteng, pemuda berusia 38 tahun ini mengakui kerjayanya itu berdepan dengan cabaran sukar kerana memerlukan kemahiran tinggi dalam setiap operasi.
Menurutnya, antara tugas yang dilakukan adalah mengurus, mentadbir dan menyelia operasi, program atau aktiviti melibatkan kawasan air sama ada di tasik, sungai atau laut.
"Kita juga bertanggungjawab menguruskan latihan kepada anggota dalam penyelamat di air seperti berenang, pengendalian bot, penyelamat di air, skuba dan lain-lain," katanya.
Sukar puaskan hati semua pihak
Bercerita lanjut, Mohd Aidil Firdauz mengakui pembabitannya dalam jabatan tersebut adalah secara sukarela sejak lebih tujuh tahun lalu.
"Saya tertarik kerana visinya yang membawa pergerakan kebajikan sukarela beruniform berteraskan Islam.
“Misinya bertujuan berkhidmat secara sukarela sekali gus membangunkan semula budaya generasi muda melalui pendekatan kebajikan serta kemasyarakatan berlandaskan Islam,” katanya yang pernah terlibat dengan Yayasan Amal Malaysia dan Pemuda Pas.
Anak sulung dari tiga beradik ini yang baru dua tahun memegang jawatan terbabit tersebut mengakui sukar untuk memuaskan hati semua pihak.
“Sebagai NGO, bukan mudah untuk meyakinkan jabatan atau agensi kerajaan tapi dari situlah saya pupuk diri untuk terus bersabar dan menerima teguran dengan hati terbuka.
“Saya percaya bila kita ikhlas membantu, orang akan yakin dengan kerja kita... Alhamdulillah, cabaran itu dapat diatasi kerana kita memberi komitmen penuh dalam kerja,” katanya.
Pun begitu, tanpa berselindung, anak kelahiran Kampung Dong, Raub ini bersyukur kerana penglibatannya dalam NGO berkenaan memberi kesan positif dalam dirinya.
"Mana tidaknya, ia mendorong untuk saya bersabar dalam tugasan kerana setiap operasi yang dilakukan berdepan dengan pelbagai situasi seperti karenah manusia dan persekitaran," katanya.
Tambahnya, semua itu mempengaruhinya untuk bekerja pada mulanya, namun dengan adanya sifat sabar ia dipermudahkan.
“Terus terang, saya cakap pengalaman sama ada suka atau duka dalam membentuk pasukan yang terbaik, pelbagai liku-liku dalam mencari bajet dan keyakinan pihak atasan dalam penubuhan unit ini kerana sebuah unit baru perlu sokongan dari semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Aidil Firdauz berharap Jabatan Amal Malaysia menjadi badan beruniform yang diiktiraf dan maju setanding pasukan penyelamat yang lain.
"Harapan saya semoga ramai orang membantu untuk kita menambah aset dan logistik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!