Lebih 600 anggota JBPM Terengganu terima vaksin fasa pertama

MD Hilman menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Manir, Kuala Terengganu pada Selasa
MD Hilman menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Manir, Kuala Terengganu pada Selasa
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 633 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BionTech fasa pertama pada Selasa.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, jumlah itu termasuk pegawai, anggota dan kakitangan awam yang bertugas di bahagian pentadbiran.

"Kesemua mereka menerima suntikan secara berperingkat dan proses itu bermula dengan kakitangan di peringkat ibu pejabat Terengganu diikuti anggota di balai-balai bomba dan penyelamat (BBP) di setiap daerah.

"Secara keseluruhannya di Terengganu terdapat 833 anggota bomba dan vaksin akan diberikan secara berperingkat manakala seramai 200 terpaksa menolaknya kerana atas faktor kesihatan seperti mengandung, menyusu dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Manir, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Md Hilman turut memaklumkan lebih 100 anggota bomba sukarela dan bantuan di negeri ini dijangka akan menerima suntikan vaksin pada fasa kedua.

Khamis lalu, sebanyak 16,330 dos vaksin Covid- 19 jenis Pfizer-BioNTech tiba di negeri ini dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin tersebut.

Dalam perkembangan lain, Md Hilman menasihati orang ramai terutama para petani dan peladang agar tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan musim panas yang melanda ketika ini.

Katanya, ia bagi mengelakkan berlakunya kebakaran hutan dan kawasan pertanian pada skala yang luas sehingga memerlukan tempoh masa yang panjang untuk proses pemadaman.

Artikel Berkaitan:

“Kita nasihatkan kepada petani supaya elak melakukan pembakaran secara terbuka tanpa dikawal kerana ianya boleh menyebabkan kebakaran hutan berskala besar sehingga melibatkan kos yang tinggi, aset yang banyak seperti jentera berat, helikopter, kekuatan anggota yang ramai untuk memadamkan kebakaran selain boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.

“Untuk kebakaran secara semulajadi peratusannya amat kecil kecuali terdapat sumber lain seperti tindak balas bahan kimia. Kebanyakkan faktor yang berlaku adalah disebabkan sengaja dibakar untuk tujuan pertanian atau pembuangan sisa api rokok yang tidak padam sepenuhnya,” katanya.

Md Hilman berkata, kira-kira 20 ‘hot sport’ kawasan yang sering berlaku kebakaran hutan telah dikesan di seluruh Terengganu termasuklah di Lembah Bidong (Setiu), Dungun dan Kemaman.

“Alhamdulillah pada tahun lalu tiada kebakaran terbuka atau kebakaran hutan direkodkan negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP)," katanya.

"Begitupun bulan lalu, kita telah mengesan tompokan asap akibat pembakaran kecil-kecilan dipercayai dilakukan oleh petani,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!