Kehilangan Muhammad Adib masih menjadi persoalan
SHAH ALAM - Kehilangan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim daripada tempat duduknya di sebelah pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) semasa insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman masih menjadi persoalan pada hari kedua prosiding inkues, semalam.
Saksi ketiga, Ahmad Shahril Othman memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau hanya menyedari kehilangan Muhammad Adib selepas EMRS berpusing dan merapat pada jentera Fire Rescue Tender (FRT).
"Saya langsung tidak menyedarinya kerana terpaksa menahan pintu daripada dibuka oleh beberapa perusuh yang memakai topi keledar manakala sebelah tangan lagi memegang stereng EMRS," katanya.
Menurutnya, beliau beranggapan Muhammad Adib ditarik dan dipukul sekumpulan perusuh.
"Kalau kenderaan bomba seteruk itu, saya beranggapan dia (perusuh) mesti melakukan benda yang sama sekiranya dapat tarik orang (Muhammad Adib)," katanya dalam pemeriksaan utama oleh pegawai pengendali Inkues, Hamdan Hamzah.
Selepas menyedari Muhammad Adib tiada di sebelahnya, dalam keadaan tergamam, beliau menekan pedal minyak dan cuba menyelamatkan diri menuju ke Balai Polis USJ 8.
"Sebaik sahaja sampai di hadapan pondok pengawal balai polis itu, saya turun dan memeriksa kenderaan dan tiba-tiba Hazim keluar daripada tempat duduk belakang van EMRS.
"Saya tanya Hazim, (Muhammad) Adib di mana? Dia dalam keadaan pucat dan cemas beritahu tak tahu," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas EMRS mendapati cermin sisi kiri, pintu sisi (slide) tercabut dan tayar belakang kiri pecah hanya tinggal rim.
Seminit kemudian, FRT yang dipandu Md Elliza Mohd Noor tiba, penyelia pasukan, Badul Hisyam Salleh membuat panggilan baris bagi memeriksa anggota namun Muhammad Adib tiada.
"Kami kemudiannya masuk ke dalam balai polis untuk membuat laporan namun tidak dapat melakukan kerana sistem tergendala.
Kami juga memaklumkan kehilangan Muhammad Adib dan memohon bantuan polis memasuki kawasan rusuhan untuk melakukan pencarian," katanya.
Menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Mohd Shahril memberitahu salah seorang anggota daripada kenderaan FRT menghubungi Adib.
"Ada seseorang yang menjawab panggilan itu dan memaklumkan dalam perjalanan membawa Muhammad Adib ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Koroner dan pihak-pihak berkepentingan meluangkan masa hampir dua jam di persimpangan Jalan USJ 16 serta melihat kerosakan FRT dan EMRS di Balai Bomba Subang Jaya untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Prosiding hari kedua turut menyaksikan kenderaan mainan termasuk dua buah bas dan sebuah kereta di bawa masuk ke mahkamah untuk menjelaskan kedudukan sebenar FRT dan EMRS.
Prosiding ditangguhkan dan bersambung hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!