Trump disuntik vaksin Covid-19 pada Januari lalu
WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan isterinya, Melania sudah memperoleh suntikan vaksin Covid-19 pada Januari lalu sebelum mereka meninggalkan Rumah Putih, kata seorang bekas penasihat Trump pada Isnin.
Menurut AFP, kedua-dua pasangan itu disuntik dengan vaksin tersebut di Rumah Putih tetapi bekas penasihat berkenaan tidak memberikan maklumat lebih lanjut berhubung suntikan tersebut.
Setakat ini masih tidak diketahui jenis vaksin dan berapa banyak dos yang disuntik terhadap pasangan tersebut, lapor portal berita CNN.
Pendedahan itu dibuat selepas Trump menggesa para pengikutnya untuk disuntik dengan vaksin bagi membendung penularan Covid-19 dalam ucapannya pada Persidangan Tindakan Politik Konservatif di Orlando, Florida pada Ahad lalu.
Sebahagian daripada penyokong bekas Presiden itu berasa skeptikal dengan vaksin pandemik itu.
Setakat ini lebih 500,000 orang telah meninggal dunia di AS akibat pandemik itu.
Portal berita CNN pernah melaporkan bahawa seorang pegawai Rumah Putih berkata pada pertengahan Disember tahun lalu bahawa Trump tidak akan divaksinasi sehingga ia disyorkan oleh pasukan perubatan Rumah Putih.
Tindakan bekas Presiden AS tersebut menerima vaksin Covid-19 tanpa diberitahu kepada rakyatnya itu adalah berbeza dengan cara Presiden Amerika, Joe Biden dan Naib Presiden AS, Kamala Harris.
Kedua-duanya menerima suntikan vaksin tersebut pada bulan Disember tahun lalu yang disiarkan menerusi televisyen iaitu sebelum mereka mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu.
Trump dan isterinya pernah dijangkiti dengan Covid-19 dan dirawat selama beberapa hari di sebuah hospital tentera di Bethesda, Maryland, pada awal Oktober tahun lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!