Bayi, kanak-kanak terperangkap dalam kereta diselamatkan
KEPALA BATAS - Seorang bayi lelaki berjaya diselamatkan selepas terperangkap kira-kira 10 minit di dalam kereta ibunya di Bengkel Peladang, Jalan Paya Keladi Hujung, di sini pada Selasa.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.23 pagi berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati seorang bayi berusia setahun berada di dalam kereta jenis Perodua Kelisa berwarna kelabu gelap.
"Selepas menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam yang lengkap berpakaian pelindungan peribadi (PPE) terus bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita menjalankan kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan 'rescue tools' dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.38 pagi," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, ibu mangsa meninggalkan anaknya di dalam kereta untuk urusan membaiki kereta namun kenderaan tersebut terkunci secara 'auto lock'.
Dalam kes berasingan, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap di dalam kereta milik ibu bapa mangsa di Lintang Mayang Pasir, Bayan Lepas pada tengahari Selasa.
Menurut jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.54 tengahari lalu bergegas ke lokasi kejadian.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam kereta jenis Honda City.
"Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan yang sama (rescue tools). Mangsa berjaya dikeluarkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambahnya, punca kejadian tersebut adalah disebabkan kenderaan tersebut terkunci secara 'auto lock'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!