'Dah 40 tahun kami tunggu'

Seramai 60 orang berkumpul di luar bangunan Wisma Negeri untuk berjumpa dengan Menteri Besar.
Seramai 60 orang berkumpul di luar bangunan Wisma Negeri untuk berjumpa dengan Menteri Besar.
A
A
A

SEREMBAN – Seramai 60 penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco), Jempol nekad melancarkan mogok dengan ‘berkampung’ di luar bangunan Wisma Negeri, di sini, kerana mahu berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tindakan itu diambil apabila mereka dihalang masuk ke Wisma Negeri selepas Setiausaha Sulit Menteri Besar memaklumkan pemimpin berkenaan tiada di pejabatnya.

Difahamkan, mereka ingin bertemu dengan Menteri Besar kerana mahu menyerahkan memorandum bagi menuntut kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah peneroka di sana seperti yang pernah dijanjikan selepas PRU14.

Susulan itu, seorang wanita terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan kerana hampir pengsan akibat terjatuh.

Wakil penduduk, R Ravi,50, berkata, keadaan itu biasa berlaku dalam tempoh beberapa kali usaha mereka menuntut hak peneroka Gatco sehingga pernah ada yang meninggal dunia kerana serangan jantung.

“Pada 11 Julai tahun lalu, tiga wakil Adun dari kerajaan negeri telah datang berbincang dengan penduduk di Gatco dan berjanji akan usahakan lapan ekar tanah untuk peneroka asal dan empat ekar untuk pembeli.

“Tapi hingga hari ini, tiada sebarang tindakan meyakinkan dan sebab itu kita buat keputusan untuk hantar sendiri memorandum kepada Menteri Besar dan bukan wakilnya,”katanya ketika ditemui di luar bangunan Wisma Negeri, semalam.

Katanya, mereka akan berganjak jika ada wakil kerajaan negeri yang dapat memberikan surat hitam putih mengesahkan pertemuan dengan dengan Menteri Besar pada hari lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk, K Asokan,59, yang bekerja sebagai pemandu berkata, dia dan isteri sanggup berkumpul bersama penduduk lain demi menuntut janji.

“Sudah 40 tahun kami tunggu isu ini nak diselesaikan. Berapa lama lagi perlu tunggu, entah saya hidup atau tidak lagi lepas ini.

“Kami nak jumpa Menteri Besar sebab masalah ini tak dapat diselesaikan lagi. Kami desak kerajaan guna Akta Pengambilan Tanah,” katanya.

Penduduk lain, B Serimadhi, 63, pula berkata, dia sudah bersedia dengan tikar dan bantal untuk bermalam di situ bersama penduduk lain jika mereka tidak dapat berjumpa dengan Menteri Besar.

“Kami orang susah, sebab itulah semua bersungguh-sungguh desak kerajaan supaya selesaikan masalah ini,” katanya.

Jun tahun lalu, media melaporkan Aminuddin berkata, kerajaan negeri masih dalam proses rundingan dengan penduduk dan pemilik tanah berkenaan isu pemilikan tanah di kawasan Gatco.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!