Teknologi, bahasa dan integriti

Menjiwai Amanat Tun Dr Mahathir

Dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki Jepun kembali membangun dengan lebih gagah sebagai bangsa yang bermaruah, maju dan disegani dunia. - sumber foto: The Atlantic
Dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki Jepun kembali membangun dengan lebih gagah sebagai bangsa yang bermaruah, maju dan disegani dunia. - sumber foto: The Atlantic
A
A
A

MENGHADIRI Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan (BBP) baru-baru ini, penulis terkesan dengan beberapa amanat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kesan pertama ialah seruan Dr Mahathir agar teknologi terkini digunakan dalam urusan-urusan harian Badan Berkanun Persekutuan.

Sebagai pemimpin negara yang begitu berpengalaman, beliau dapat melihat evolusi pengurusan dan teknologi yang berlaku bukan sahaja dalam badan berkanun, malah di kementerian serta agensi-agensi kerajaan yang lain. Kaedah pengurusan yang dahulunya agak ‘tradisional’ serta dikendalikan secara manual atau dengan bantuan teknologi yang serba sederhana, kini telah mengalami perubahan serta kemajuan yang luar biasa kepesatannya.

Sebagaimana yang kita maklum, Dr Mahathir amat mengagumi Jepun terutamanya dari aspek teknologi, integriti dan budayanya. Dasar Pandang ke Timur yang disuburkan semula selepas Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai perdana menteri, mengingatkan kita tentang kisah kejayaan Jepun dalam pelbagai bidang selepas kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua. Dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki mereka kembali membangun dengan lebih gagah sebagai bangsa yang bermaruah, maju dan disegani dunia.

Kita masih ingat lagi iaitu negara pertama di luar Asean yang dikunjungi Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh bagi tujuan lawatan kerja ialah Jepun. Kunjungan tersebut membayangkan bahawa Jepun mempunyai makna yang sangat signifikan kepada Perdana Menteri, khususnya ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang telah diasaskannya dan akan terus diperkasakan dari masa ke masa.

Satu daripada kisah kejayaan program Pandang Ke Timur ialah penghantaran mahasiswa-mahasiswi kita untuk menyambung pengajian di beberapa buah universiti yang ternama di Jepun. Ribuan mahasiswa telah mendapat manfaatnya. Mereka mendalami ilmu sains, teknologi dan kemanusiaan di beberapa institusi pengajian tinggi di sana.

Dengan menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu di tanah air, melalui kursus bahasa di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), Universiti Malaya, para mahasiswa kita dapat menyesuaikan diri dengan pantas dalam pendidikan mereka di sana. Oleh sebab mereka menguasai bahasa Jepun dan memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing, mereka mudah mendapat pekerjaan, termasuk di firma-firma Jepun di Malaysia, atau memulakan serta meneruskan kerjaya mereka di negara matahari terbit itu. Penulis sangat bertuah kerana terpilih berkerja di Mitsubishi Electric Corporation yang terletak di Bandar Kobe selepas menamatkan pengajian di Universiti Tokushima.

Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat dahulu, kerap kali beliau berkunjung ke Jepun, termasuk bagi menemui para pelajar Malaysia di sana. Beliau mengingatkan para pelajar kita agar memahami, menghayati dan mencontohi pelbagai aspek positif Jepun, termasuk kehebatan teknologinya.

Teknologi

Artikel Berkaitan:

Dalam era Revolusi Industri 4.0 sekarang, orang sudah biasa menyebut dan mengaitkannya dengan keperluan ‘Internet of Things’ (IOT). Kecanggihan pengkomputeran internet telah dapat menghubung-jalin pelbagai fungsi bukan sahaja bagi menghantar dan menerima data, malah urusan-urusan yang lain. Justeru badan berkanun wajar memanfaatkan serta meningkatkan penggunaannya dalam pekerjaan seharian. Ia lebih cepat, relatif murah dan lebih meluas jangkauannya kepada orang ramai, stakeholder, pelanggan dan sebagainya.

Keadaan ini bersesuaian dengan projek kerajaan meningkatkan keupayaan jalur lebar di seluruh negara, termasuk peluasan liputan selular. Jalur Lebar Tenaga Nasional Berhad sahaja umpamanya telah mencapai lebih 900Mbps. Dengan adanya jaringan jalur lebar yang meluas termasuk di luar bandar dan pedalaman, penggunaan internet akan lebih menyeluruh dan berkesan dalam usaha memajukan minda serta ekonomi rakyat.

Dalam program tersebut Dr Mahathir juga menyebut badan berkanun sebagai ‘kerajaan kecil.’ Ini kerana badan-badan berkanun adalah sebuah agensi separa kerajaan yang ditubuhkan di bawah peruntukan sesebuah Akta Parlimen atau Enakmen Dewan Undangan Negeri. Oleh itu apa jua tahap prestasi ‘kerajaan kecil’ ini akan turut menggambarkan prestasi kerajaan yang sebenarnya. Jika ‘kerajaan kecil’ ini kurang cekap, maka masyarakat akan melihat persepsi yang sama terhadap kerajaan. Sebaliknya jika ‘kerajaan kecil’ ini efisien, maka prestasi kerajaan dilihat begitu baik dan berkesan.

Dalam konteks penggunaan teknologi internet ini, penulis berpendapat ia bukan sahaja baik bagi Badan-Badan Berkanun Persekutuan, kementerian, agensi kerajaan dan sebagainya. Teknologi internet juga semakin menjadi bahagian yang penting dalam ekosistem pendidikan tinggi di negara ini. Di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) umpamanya, penggunaan IOT sedang dikembangkan, terutamanya bagi hubungan dua hala antara staf akademik dengan para mahasiswa bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Bahasa

Dalam program eksekutif pengurusan tertinggi BBP itu juga Dr Mahathir telah menyentuh tentang kemunculan dan peranan bahasa-bahasa utama dunia dalam sejarah peradaban manusia. Bahasa-bahasa utama tersebut telah mencorakkan tamadun manusia dalam era-era tertentu. Oleh yang demikian isu bahasa utama dunia harus diberikan perhatian.

Tamadun dunia mula dicorakkan melalui pemikiran yang kompleks dengan menggunakan bahasa Greek. Bahasa Indo-European ini sudah mula terkenal dan berpengaruh sejak kurun ke-14 sebelum Masihi. Melalui bahasa ini dunia sekarang mengenali pemikiran ahli-ahli falsafahnya seperti Socretes, Plato dan Aristotle. Begitu juga drama-drama tragedi Aeschylus, Sophocles dan Euripides.

Ketika Eropah berada dalam zaman kegelapan, bahasa Arab pula yang membentuk pengaruhnya, mencorak tamadun Islam hingga menjangkau ke benua Eropah. Kurun ke-6 hingga Kurun ke-12 merupakan zaman kegemilangan pengaruh bahasa Arab dengan karya falsafah dan pelbagai ilmu pengetahuan termasuk sains, algebra, astronomi, perubatan dan sebagainya.

Selepas itu, mulai kurun ke-12 bahasa Perancis pula muncul sebagai kuasa linguistik termasuk dalam kalangan elit penguasanya di pelbagai negara Eropah. Bagaimanapun beberapa kurun kemudian bahasa Inggeris muncul sebagai bahasa yang lebih popular. Bahasa Inggeris turut tersebar di negara-negara jajahannya di serata dunia. Kini bahasa Inggeris digunakan secara meluas di seluruh dunia, termasuk sebagai salah satu bahasa ilmu pengetahuan yang penting.

Justeru tidaklah menghairankan jika Dr Mahathir selalu menekankan betapa pentingnya bahasa Inggeris digunakan di negara ini, umpamanya melalui subjek sains dan matematik di sekolah-sekolah. Menguasai ilmu dan bahasa ini, akan memberi lebih peluang kepada para pelajar kita untuk kebaikan masa depan mereka sendiri, terutamanya bagi maksud kerjaya.

Dalam hal ini penulis berpendapat bahawa selain bahasa Inggeris, para pelajar kita wajar turut menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain seperti Mandarin dan sebagainya. Di samping itu kita juga harus membela nasib bahasa Melayu, supaya bahasa ini boleh terus menjadi bahasa ilmu tinggi dalam pelbagai bidang pengetahuan moden termasuk sains dan teknologi.

Integriti

Penulis juga terkesan dengan pendapat Dr Mahathir tentang perlunya ditingkatkan tahap integriti di Malaysia. Integriti bukan sahaja dalam kalangan staf di Badan-badan Berkanun Persekutuan, malah di kementerian atau sektor awam, di sektor swasta dan orang ramai.

Dr Mahathir berhasrat untuk mengubah Malaysia menjadi Malaysia yang ‘berintegriti.’ Bagi Dr Mahathir, adalah penting setiap rakyat di negara ini, baik yang memimpin mahupun yang dipimpin, mempunyai kualiti kejujuran serta prinsip-prinsip moral yang tinggi, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Dr Mahathir memberi isyarat kepada kita bahawa di samping keinginan menjadi negara maju, aspek integriti tidak boleh dikesampingkan. Integriti menjadi salah satu daripada tunjang penting budaya Jepun, hingga negara tersebut dapat muncul sebagai antara negara industri terkemuka dunia walaupun telah tewas dalam Perang Dunia Kedua. Justeru ‘Dasar Pandang Ke Timur’ wajar diteruskan demi kebaikan masa depan Malaysia.

Banyak yang boleh kita pelajari dari sebuah negara maju seperti Jepun, sebuah negara yang kita ketahui sangat memulihara budaya serta nilai-nilainya. Ini kerana Jepun sangat menyedari kepentingan integriti serta peranan budaya sebagai identiti atau citra bangsanya. Oleh yang demikian mereka amat bangga akan warisan budaya turun temurun. Tidaklah menghairankan jika budaya sedemikian telah membentuk masyarakat Jepun yang harmoni serta saling bekerjasama.

Jika budaya integriti berkembang subur dalam kehidupan kita, termasuk dalam tugas-tugas rasmi, kita akan menyaksikan setiap lapisan masyarakat mempunyai nilai kejujuran serta prinsip-prinsip moral yang tinggi. Sebab itu Dr Mahathir menegaskan perlunya budaya integriti ini disuburkan dan dikembangkan. Setiap daripada kita, menurut Dr Mahathir perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti yang tinggi.

Di samping integriti yang tinggi, Dr Mahathir juga mengharapkan kita sentiasa bekerja dengan ‘passion.’ Ini bererti bekerja dengan penuh semangat, penuh minat serta penuh keceriaan. Dengan ‘passion’ kita dapat melaksanakan tugas dengan baik, produktif dan berkesan.

Amanat Dr Mahathir sesungguhnya amat penting bukan sahaja bagi warga BBP, malah kita warganegara Malaysia umumnya. Jika kita memanfaatkan teknologi terkini dengan baik, menguasai bahasa-bahasa dunia yang penting, berilmu serta berintegriti tinggi dalam melaksanakan tugas yang penuh ‘passionate’, maka Dr Mahathir percaya bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.

* Datuk Prof Ir Dr Mohd Rizon Juhari ialah Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (ASWARA) & Ahli Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!